Isnin, 13 Februari 2017 | 11:35am

Indonesia akan pilih gabenor baharu Jakarta esok

GABENOR Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, dikenali sebagai Ahok, mengambil alih pentadbiran Jakarta pada 2015 apabila ketuanya ketika itu, Joko 'Jokowi' Widodo menang pada pilihan raya presiden. - Foto DW
GABENOR Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, dikenali sebagai Ahok, mengambil alih pentadbiran Jakarta pada 2015 apabila ketuanya ketika itu, Joko 'Jokowi' Widodo menang pada pilihan raya presiden. - Foto DW

JAKARTA: Rakyat Indonesia akan mula mengundi esok pada pilihan raya di lebih 100 wilayah, bandar raya dan daerah, dengan persaingan merebut jawatan Gabenor Jakarta menjadi pertandingan politik paling sengit di negara itu.

Persaingan mentadbir bandar raya dengan lebih 10 juta penduduk itu ditandingi tiga calon, seorang daripadanya etnik Cina Kristian dan dua calon Islam.

Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, dikenali sebagai Ahok, 50, mengambil alih pentadbiran Jakarta pada 2015 apabila ketuanya ketika itu, Joko 'Jokowi' Widodo menang pada pilihan raya presiden.

Ahok ialah etnik Cina Kristian pertama menjadi gabenor, tetapi tercetus kontroversi besar baru-baru ini apabila umat Islam marah kerana gabenor itu dikatakan menghina al-Quran.

Beliau menafikan sebarang salah laku tetapi dibicarakan atas tuduhan menghina agama dalam kes yang disifatkan sebahagian pemerhati sebagai bermotifkan politik.

Beliau disokong parti pemerintah, Parti Demokratik Indonesia Perjuangan (PDI-P).

Keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 8 hingga 10 Mac ini.

Jika tiada calon mendapat undian majoriti pada pusingan pertama, pusingan kedua dijangka diadakan pada Mei antara dua calon yang memperoleh undian paling banyak. - Reuters

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X