Isnin, 13 Februari 2017 | 12:24pm

KJ beri laluan TMJ tanding jawatan Presiden FAM


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan tidak akan bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada kongres badan induk itu, 25 Mac ini.

Beliau berkata, pendiriannya selaras dengan janjinya sebelum ini untuk memberi laluan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atau proksi beliau mengisi kerusi nombor satu FAM itu.

Setakat ini, hanya Tan Sri Annuar Musa yang mengesahkan akan bertanding bagi menggantikan penyandangnya, Pemangku Sultan Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

BH Sabtu lalu memetik Tunku Ismail meramalkan Khairy atau proksi beliau bakal memenangi perebutan jawatan berkenaan.

TMJ berkata demikian dalam satu wawancara yang disiarkan menerusi Facebook rasmi Johor Darul Ta'zim (JDT), Johor Southern Tigers.

Seorang lagi calon ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Tarikh tutup bagi penyerahan borang penerimaan pencalonan bagi jawatan presiden FAM dan jawatan lain persatuan itu ditetapkan pada jam 5.30 petang, hari ini.

Berita Harian X