Isnin, 13 Februari 2017 | 4:26pm

Hanya 2 calon Timbalan Presiden tiba di FAM

Jeneral tengah hoki negara, Fitri Saari memberi perkhabaran gembira menjelang pertembungan kelayakan akhir Sukan Olimpik 2020 menentang Great Britain, Sabtu dan Ahad ini. - NSTP/Rosela Ismail

KELANA JAYA: Setakat jam 4 petang ini, hanya dua calon bagi Timbalan Presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berada di premis Wisma FAM.

Meskipun tidak memberi penjelasan mengenai kehadiran mereka, namun dua individu itu dipercayai mahu mengesahkan penyertaan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pada Kongres Pemilihan FAM ke-53, 25 Mac ini.

Calon paling awal tiba ialah Naib Presiden FAM, Datuk Rozabil Abdul Rahman diikuti Datuk Seri Subahan Kamal yang tiba jam 3 petang.

Namun cubaan BH Online untuk mendapatkan komen kedua-dua calon gagal susulan mereka keluar menggunakan pintu belakang dan terus menuju ke kenderaan mereka yang diletakkan di tempat parkir hadapan Wisma FAM.

Hanya tinggal satu jam dan 30 minit saja lagi untuk semua calon mengesahkan jawapan untuk bertanding dengan tempoh pengesahan akan berakhir jam 5.30 petang ini.

Bagaimanapun, kelibat calon bagi jawatan Presiden FAM masih belum kelihatan setakat jam 4 petang ini.

Tiga lagi calon yang perlu mengesahkan penyertaan bagi jawatan Presiden adalah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

Bagaimanapun, pagi tadi Khairy mengesahkan tidak akan bertanding bagi memberi laluan kepada TMJ.

Berita Harian X