Selasa, 23 Disember 2014 | 7:40am

Teksi awam perlu contohi khidmat Uber

Semakin banyak bantahan dan demonstrasi khususnya oleh syarikat/pertubuhan perkhidmatan teksi di Lembah Klang terhadap kehadiran 'teksi Uber' - aplikasi menyewa kenderaan menerusi talian, yang semakin popular sejak diperkenalkan di negara ini setahun lalu.

Terbaharu, Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kerana kononnya berdiam diri dan membenarkan 'teksi Uber' terus beroperasi termasuk menggunakan kenderaan persendirian tanpa lesen pengendali yang sah.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan dan Syarikat-Syarikat Teksi Semenanjung Malaysia turut menggesa SPAD mengambil tindakan terhadap teksi Uber kerana dikatakan menghubungkan pengguna bukan dengan teksi berdaftar, sebaliknya dengan kenderaan persendirian dan perkhidmatan limosin.

Uber ditubuhkan di San Fransisco pada tahun 2009, menawarkan perkhidmatan melalui aplikasi telefon pintar dan media sosial bagi membantu pengguna mendapatkan perkhidmatan pengangkutan awam. Ia kini beroperasi di 53 negara merangkumi lebih 200 bandar raya.

Teksi Uber semakin popular

Di Malaysia, sejak teksi Uber memulakan operasinya tahun lalu, ia semakin popular khususnya dalam kalangan warga Lembah Klang kerana selain kadar bayaran lebih murah, perkhidmatannya dikatakan jauh lebih baik.

Uber mengenakan RM2 untuk setiap kilometer, dengan caj permulaan RM7, serta caj minimum RM13. Antara destinasinya di Lembah Klang ialah Kuala Lumpur ke Putrajaya dengan bayaran RM68, KLIA (RM270) untuk perkhidmatan premium dan RM80 untuk perkhidmatan bajet dan ke Genting Highlands (RM150).

Ia menawarkan perkhidmatan UberX bagi kelas bajet dan UberBLACK untuk kelas premium. Jenis kenderaan bergantung kepada kehendak dan kemampuan pelanggan sama ada premium atau bajet.

Antara jenis kenderaan untuk UberBlack ialah Honda CR-V, Nissan Teana, Peugeot 508, Toyota Alphard and Toyota Camry, manakala bagi UberX, Perodua MyVi, Toyota Vios dan Nissan Almera disediakan.

Pengendali Uber, dalam satu kenyataannya baru-baru ini, menjelaskan pihaknya bekerjasama dengan syarikat kereta sewa berlesen di semua tempat operasi. Syarikat itulah, yang dikawal oleh pihak berkuasa, menyediakan kenderaan dan pemandu kepada pelanggan Uber.

Uber, tegas beliau, hanya menyediakan teknologi serta sistem komunikasi dan bayaran bagi memastikan urusan antara penyedia kenderaan, pemandu dan pelanggan berjalan lancar.

Seorang ibu tunggal yang juga rakan seuniversiti ketika ditemui pada satu majlis perkahwinan di sebuah hotel mewah di ibu kota minggu lalu memberitahu, sejak menjadi pelanggan Uber, beliau bukan saja tidak melanggan teksi biasa tetapi tidak lagi memandu sendiri jika berurusan di pusat bandar raya walaupun tengah malam atau awal pagi.

"Bukan saja murah, kita boleh memilih kereta mewah dan bersih. Kita juga tidak perlu bergaduh dengan pemandu mengenai tambang atau kenapa tidak menggunakan meter seperti berlaku dengan pemandu teksi," katanya.

Perkhidmatan disukai pelanggan

Sementara kita bersimpati dengan persatuan pemilik/pemandu teksi yang berasakan kehadiran Uber menjejaskan perniagaan/pendapatan mereka, kewujudan perkhidmatan berasaskan teknologi seperti ini tidak boleh disekat selagi pengguna menyukainya. Perkhidmatan Uber sebenarnya hampir serupa dengan pengendali tempahan hotel atau tiket pesawat penerbangan menerusi talian di mana pengguna mempunyai banyak pilihan pada harga jauh lebih rendah.

Memang kehadiran Uber turut menerima bantahan di beberapa negara termasuk pengusaha 'Black Cab' di London pada awal operasinya. Minggu lalu, pendakwa raya California, Amerika Syarikat memfailkan saman ke atas Uber ekoran kes rogol oleh pemandu 'teksi'nya di India, selain beberapa tuduhan termasuk mencederakan penumpang di San Francisco.

Di Sepanyol, Mahkamah Madrid mengarahkan larangan sementara ke atas Uber yang didakwa tidak mempunyai kebenaran mengendalikan perkhidmatan berkenaan.

Di Thailand, Jabatan Pengangkutan Darat negara itu mengeluarkan larangan serupa dengan alasan aplikasi Uber tidak berdaftar dan tiada insurans untuk menjalankan perdagangan. Sistem pembayaran kad kredit yang digunakan Uber dikatakan tidak mematuhi peraturan.

Kita bersetuju pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Uber jika khidmatnya di negara ini melanggar peraturan dan undang-undang negara. Bagaimanapun, jika perkhidmatan itu tidak melanggar peraturan, Uber atau apa saja perkhidmatan yang memberi keselesaan dan penjimatan kepada pengguna, harus diberi sokongan.

Barangkali dengan cara itu, perkhidmatan pengangkutan awam terutama teksi di Lembah Klang, terpaksa memperbaiki mutu perkhidmatan, sekali gus menghapuskan pelbagai tanggapan negatif terhadap mereka selama ini. Biarlah pengguna menjadi hakim dengan memilih perkhidmatan terbaik pada harga lebih rendah.

Berita Harian X