Isnin, 13 Februari 2017 | 10:34pm

Kak Milah kempen menerusi telefon dibawa anak

SANTUBONG: Calon Barisan Nasional (BN), Puan Sri Jamilah Anu tidak menganggap tempoh edah yang dilaluinya sebagai kekangan untuk mendekati rakyat dalam kempen menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu.

Dalam tempoh berbaki lima hari menjelang hari pengundian, 18 Februari ini, Jamilah atau lebih gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Milah terus agresif mengatur gerak jentera kempennya.

Malah, kediamannya itu dijadikan 'pusat kawalan dan arahan" atau 'C&C' untuknya berkomunikasi dengan jentera kempen, termasuk anak lelaki bongsunya, Azizul Anuar Adenan, 26, yang mewakilinya berkempen di lapangan.

"Tiada tembok pemisah antara saya dan rakyat, khususnya penduduk Tanjong Datu. Memang saya rindu untuk bertemu mereka, bertanya khabar. Itulah tugasan saya selama ini pun, mengiringi arwah suami (Allahyarham Tan Sri Adenan Satem) 'turun padang' meninjau pemasalahan setempat dan mendengar denyut nadi rakyat.

"Namun, saya pasti penduduk di sana memahami apa yang saya perlu lalui ketika ini (tempoh edah). Saya rindu dengan rakyat, khususnya di Tanjong Datu. Itulah tugasan saya selama ini pun, mengiringi arwah suami 'turun padang' meninjau pemasalahan setempat dan mendengar denyut nadi rakyat di sana.

"Namun, tempoh (edah) ini perlu saya patuhi kerana ia kehendak syarak (Islam). Bagaimanapun, Icon (Azizul) ada di sana mewakili saya berkempen dan bertemu rakyat," katanya dalam temubual bersama BH, di sini petang tadi.


JAMILAH ketika ditemubual BH di rumahnya hari ini mengenai perkembangan kempen PRK Tanjong Datu. - Foto NSTP

Tidak hanya bergantung kepada media sosial, Jamilah turut mengambil inisiatif berbual dengan penduduk setempat melalui panggilan telefon kepada Azizul setiap kali turun berkempen mewakilinya.

"Inilah dinamakan 'sentuhan peribadi' , ini memang cara dari dulu untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi dan bukan hanya kerana ada pilihan raya," katanya.

Jamilah turut menganggap rakyat negeri ini sebagai 'keluarga besar', terutama penduduk Tanjong Datu.

Justeru, beliau berkata, perkara pertama mahu dilakukannya sejurus tamat tempoh edah pada 18 Mei ini adalah bertemu rakyat, terutama penduduk Tanjong Datu sebagai menghargai sokongan mereka kepadanya, begitu juga Tok Nan.

Pada masa yang sama, beliau mengingatkan jentera kempennya, begitu juga pengundi di Tanjong Datu agar jangan terlalu selesa dengan pencapaian dikecapi BN.

"Jangan terlalu selesa dengan kejayaan semalam (peningkatan jumlah peratusan keluar pengundi awal). Kita perlu pastikan kemenangan besar.... majoriti lebih besar dalam PRK Tanjong Datu.

"Keluarlah beramai-ramai pada hari pengundian Sabtu ini. Tunaikanlah hak masing-masing. Ini juga sebagai 'hadiah istimewa' untuk Tok Nan.....menghargai segala usaha Tok Nan membawa transformasi ke Tanjong Datu," katanya.

Dalam PRK Tanjong Datu, Jamilah bakal menghadapi pertembungan tiga penjuru, termasuk dua calon pembangkang iaitu Johnny Aput dari Parti Reformasi Negeri (STAR) dan Rapelson Richars Hamid dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baharu (PBDSB).

Jamilah turut menyatakan komitmennya untuk menjayakan segala akujanji Tok Nan untuk Tanjong Datu, yang tidak berkesempatan dilaksanakan arwah suami beliau itu ketika hayatnya.

"Percayalah.... jiwa Tok Nan cukup dengan Tanjong Datu dan penduduknya. Besar perancangannya untuk Tanjong Datu tetapi tidak sempat dilaksanakannya. Saya dan BN Sarawak, khususnya 'Tim Adenan' akan meneruskan impian arwah itu," katanya.

Berita Harian X