Isnin, 13 Februari 2017 | 11:27pm

Khairul Idham Pelumba Terbaik SIC-MAM


KHAIRUL Idham (kiri) dinobatkan Pelumba Terbaik (dua roda) Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2016. Hadiah disampaikan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz (tengah) dan Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Tan Sri Azman Yahya (kanan) . - Foto Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Khairul Idham Pawi yang juga pemenang dua perlumbaan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tahun lalu, menepati ramalan apabila mengungguli anugerah Pelumba Terbaik (dua roda) Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2016, sebentar tadi.

Kejayaan membanggakan yang dilakar penunggang 19 tahun dari Perak itu membolehkannya mengetepikan saingan sengit beberapa pelumba termasuk Hafizh Syahrin Abdullah (Moto2), Zulfahmi Khairuddin (WSBK) dan Adam Norrodin (Moto3).

Sebanyak lapan anugerah utama dipertandingkan dengan anugerah sama bagi Pelumba Terbaik (Empat roda) diraih bekas pemandu Formula Renault 3.5, Jazeman Jaafar.

Anugerah SIC-MAM dianjurkan bagi mengiktiraf sumbangan individu yang banyak menyumbang terhadap pembangunan sukan permotoran negara, selain mengharumkan nama negara dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali mengakui ia satu acara yang membanggakan.

Begitupun, Hafizh yang juga sensasi Moto2 negara tidak pulang dengan tangan kosong apabila dinobat pemenang Anugerah Pilihan Peminat Permotoran.

Anugerah Kejuaraan Kebangsaan pula menjadi milik pelumba drif negara, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel. Anugerah Pasukan Terbaik (Dua roda) pula menjadi milik pasukan Projeck X Racing dan Sakura Tecdo Racing bagi kategori empat roda.

Anugerah bagi kategori media menjadi milik wartawan Harian Metro, Saiful Affendy Sapran dan jurugambar Kosmo, Abdul Razak Latif.

Selain itu, sembilan individu turut disenaraikan dalam 'Hall of Fame' Sukan Permotoran Malaysia, termasuk Allahyarham Tan Sri Basir Ismail yang menjadi antara pemangkin perlumbaan Formula Satu negara.

Senarai lain ialah Datuk Abdul Razak Dawood, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir, Karamjit Singh, Alex Yoong, Ron Hogg, Shahrul Yuzy Ahmad Zaini, Khairul Idham dan Zulfahmi.


KHAIRUL Idham (kiri) bersama Jazeman memenangi anugerah Pelumba Terbaik (dua roda) dan (empat roda) pada Majlis Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2016, di Kuala Lumpur. - Foto Nazran Jamel

Info:
Senarai pemenang Anugerah SIC-MAM 2016

Pelumba Terbaik (Dua roda) - Khairul Idham Pawi

Pelumba Terbaik (Empat roda) - Jazeman Jaafar

Anugerah Pilihan Peminat Permotoran - Hafizh Syahrin Abdullah

Anugerah Kejuaraan Kebangsaan SIC - Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel

Pasukan Terbaik (Dua roda) - Projeck X Racing

Pasukan Terbaik (Empat roda) - Sakura Tecdo Racing

Laporan Terbaik - Saiful Affendy Sapran (Harian Metro)

Gambar Terbaik - Abdul Razak Latif (Kosmo)

Hall of Fame - Datuk Abdul Razak Dawood; Tan Sri Basir Ismail; Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir; Karamjit Singh; Alex Yoong; Ron Hogg; Shahrul Yuzy Ahmad Zaini; Khairul Idham Pawi; Zulfahmi Khairuddin

Berita Harian X