Selasa, 14 Februari 2017 | 1:29pm

Lebuh Raya Pan Borneo Sabah pertimbang usaha sama

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika hadir pada sesi taklimat peluang pakej kerja dan pembinaan di bawah projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah. - Foto NSTP/Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Kaedah usaha sama akan dipertimbangkan dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, susulan kekurangan kontraktor berkelayakan dan berkemampuan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata tidak lebih 10 kontraktor dari Sabah benar-benar layak dan memenuhi kriteria ditetapkan rakan pelaksana projek (PDP).

"Ada kemungkinan 35 pakej bagi pembinaan lebuh raya itu dikecilkan, maka kaedah usaha sama dibenarkan dengan kontraktor dari luar Sabah yang berkemampuan iaitu membabitkan 30 peratus syarikat luar negeri ini.

"Bagaimanapun, pemilikan syarikat atau kontraktor Sabah tetap diutamakan atau kekal 70 peratus. Jika tidak, kita khuatir pelaksanaan projek akan terjejas.

"Kaedah ini belum diputuskan dan masih di peringkat penilaian serta perincian untuk memastikan ia tidak tergendala dan disiapkan mengikut jadual," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Taklimat Peluang Pakej Kerja dan Pembiayaan Di Bawah Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah di sini, hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Fadillah berkata, menerusi kaedah usaha sama, kontraktor dari Sabah boleh mencari rakan kontraktor dari luar negeri itu bagi memastikan projek siap mengikut masa dan kualiti ditetapkan.

Mengenai Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah, beliau berkata, sebahagian daripada 35 pakej sedang dilaksanakan, membabitkan Jalan Papar ke Dongonggon, Tawau ke Semporna dan Jajaran Pintas Lahad Datu.

"Pakej lain akan dilaksanakan dalam tahun ini dan kita harap ia siap pada tahun 2021," katanya.

Berita Harian X