Selasa, 14 Februari 2017 | 6:32pm

Cari pihak ketiga biaya MRSM berbayar


DATUK Nasri Nasrun. - Foto Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak wajar mengeluarkan sebarang peruntukan untuk mewujudkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar, sebaliknya ia perlu dibiayai pihak lain sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

Itu cadangan disuarakan Persatuan Bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) yang secara dasarnya bersetuju dengan cadangan yang bakal membuka lebih banyak ruang kepada pelajar Bumiputera mendapat pendidikan berkualiti.

Ahli Jawatankuasa Pusat ANSARA, Datuk Nasri Nasrun, berkata MARA akan terbeban sekiranya terpaksa membiayai pembangunan infrastruktur MRSM berbayar baharu.

Sebaliknya, katanya, langkah terbaik adalah menjalinkan kerjasama dengan pihak ketiga yang menumpukan ke arah pembiayaan dan aspek komersial, manakala MARA menjadi 'pembekal' pada sistem pendidikan menggunakan modul MRSM sedia ada.

"Pelaburan mesti datang daripada pihak lain, mungkin secara 100 peratus, mungkin sebahagian daripada itu supaya kita tak bebankan MARA," katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Wajarkah MRSM Berbayar yang dianjurkan portal MySuara di sini, hari ini.

Selain Nasri, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd Isa dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Kerjaya Parlimen Belia Malaysia, Mohd Nazrin Faiz Che Abd Aziz turut dijemput sebagai ahli panel forum berkenaan.

November tahun lalu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) supaya menubuhkan MRSM berbayar.

Pada 4 Februari lalu, Ismail Sabri menjelaskan, MRSM baharu akan dibina sekiranya cadangan penubuhan MRSM berbayar menjadi realiti dan bukannya mengambil alih maktab rendah sedia ada.

Berita Harian X