Selasa, 14 Februari 2017 | 7:29pm

Bank komersial di Malaysia komited salur pinjaman

KUALA LUMPUR: Bank di Malaysia akan terus menyediakan kemudahan kredit kepada perniagaan dan isi rumah bagi mengekalkan aktiviti ekonomi serta menyokong pertumbuhan ekonomi negara.

Sehubungan itu, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM), berkata bank komersial sentiasa aktif menyalurkan pinjaman dan perniagaan yang berdaya maju akan terus berpeluang mendapatkan pembiayaan.

Katanya, perniagaan yang berhadapan cabaran dalam permohonan pinjaman digalakkan berbincang dengan penyedia pinjaman ketika melakukan penilaian kesesuaian dan kemampuan untuk kemudahan pinjaman yang dipohon.

"Syarikat korporat dan usahawan diminta membuat pilihan untuk mendapatkan pakej pembiayaan paling sesuai dengan keperluan masing-masing.

"Bank pula akan terus komited untuk meningkatkan keupayaan mereka untuk menyokong perniagaan dan usahawan, termasuk menawarkan pelbagai pakej pinjaman bagi memenuhi keperluan perusahaan yang inovatif, " kata ABM menerusi kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan berita baru-baru ini bahawa bank di negara ini mempunyai kapasiti yang terhad untuk memberikan lebih banyak pinjaman.

Kecairan sistem perbankan di Malaysia kekal kukuh dengan nisbah perlindungan kecairan (LCR) Basel III sektor berkenaan mencecah 125 peratus setakat penghujung Disember 2016.

Nisbah pinjaman berbanding deposit sektor perbankan tempatan juga mantap pada 89.8 peratus dengan paras pinjaman susut nilai hanya berada pada 1.2 peratus daripada pinjaman bersih keseluruhan, manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman berada pada 90.2 peratus setakat Disember 2016.

Bank komersial juga masih komited untuk menyokong perniagaan dan syarikat korporat seperti dicerminkan daripada data semasa.

Pada Disember 2016, baki pinjaman perniagaan sistem perbankan meningkat lima peratus berbanding setahun lalu.

Pertumbuhan dipacu oleh peningkatan jumlah pinjaman kepada kebanyakan sektor utama seperti pemborongan dan peruncitan, restoran dan hotel, kewangan, insurans dan perkhidmatan perniagaan serta pengangkutan.

Sementara itu, bagi isi rumah, baki pinjaman dalam sektor itu meningkat 5.3 peratus pada Disember 2016, sejajar dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk tahun berkenaan.

INFO

*ABM dianggotai 26 bank komersial yang beroperasi di Malaysia

*Ia sedia platform kepada perniagaan dan usahawan untuk menjelaskan beberapa isu yang dihadapi bersama bank berhubung pinjaman atau permohonan pinjaman

Berita Harian X