Selasa, 14 Februari 2017 | 8:28pm

MIFB 2017 sasar jualan RM1.78 bilion

KUALA LUMPUR: Pameran Perdagangan Makanan dan Minuman Antarabangsa Malaysia ke-18 (MIFB 2017) dijangka memperoleh jualan sebanyak RM1.78 bilion berbanding RM1.6 bilion, tahun lalu.

Dianjurkan Sphere Exhibits Malaysia dengan kerjasama Halal Media Japan, pameran itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 9 hingga 11 Ogos ini.

Pengarah Urusan Sphere Exhibits Malaysia, Elaine Chia berkata pameran kali ini memperkenalkan segmen perkampungan halal antarabangsa yang menumpukan produk makanan berkhasiat dan semulajadi.

Katanya, MIFB 2017 disertai 550 pempamer dari 40 negara termasuk Korea Selatan, Thailand, China, Taiwan, Sri Lanka, Australia, Singapura, Indonesia, selain syarikat tempatan.

"Ini pencapaian membanggakan dengan meneruskan penganjuran kali ke-18 dan tiga tahun berturut-turut MIFB diiktiraf pameran perdagangan bertaraf antarabangsa, sekali gus membawakan pameran yang memenuhi keperluan global.

"Justeru keutamaan kali ini masih kepada keperluan pengguna, strategi teknologi dan keprihatinan terhadap pengambilalihan strategik bagi menyediakan pasaran kompetitif industri makanan dan minuman," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran media dan makan tengahari rangkaian perniagaan di Grand Millenium di sini, hari ini.

Terdahulu, Elaine menandatangani perjanjian persefahaman yang dimeterai dengan Pengasas Bersama Halal Media Japan, Akihiro Shugo sempena International Halal Village bagi MIFB 2017.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Unit Perkhidmatan Promosi, Makanan, Biotek dan Perdagangan Halal Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Mohd Aminuddin Sham Tajudin yang mewakili Pengerusinya, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata MIFB 2017 menjadi platform terbaik untuk pemadanan perdagangan dalam dan luar negara.

"Pameran ini menjadi perantara untuk memperkenalkan, memadankan perniagaan dan mempelajari inovasi teknologi terkini dari seluruh dunia yang masih menumpukan industri halal, berkhasiat yang menjadi tumpuan permintaan.

"Ini dapat dilihat pasaran global industri seluruh dunia berkembang secara progresif yang menyaksikan peningkatan permintaan pengguna dan skala besar, terutama membabitkan makanan diproses," katanya.

Katanya, industri pemprosesan makanan Malaysia memperoleh jualan sebanyak RM19.9 bilion tahun lalu berbanding RM18.01 bilion pada 2015, dengan peningkatan 11 peratus menerusi lebih 200 pasaran eksport.

Lima destinasi tertinggi eksport makanan diproses Malaysia adalah ke Singapura, China, Indonesia, Thailand dan Australia menerusi produk boleh dimakan seperti koko, bijirin, tepung, mentega dan produk tenusu.

Info

* 500 pempamer

* Dianggarkan 20,000 pelawat

* keluasan ruang pameran 10,000 kaki persegi

Berita Harian X