Selasa, 14 Februari 2017 | 8:56pm

MAHB labur ratusan juta ringgit naik taraf lapangan terbang


PENGARAH Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad, Datuk Badlisham Ghazali (kanan) berucap pada majlis Sambutan Ulangtahun ke-25 Malaysia Airports Holdings Berhad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto Fariz Iswadi Ismail.

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) akan melabur ratusan juta ringgit tahun ini bagi melaksanakan kerja pengubahsuaian dan pembesaran semua lapangan terbang di bawah pengendaliannya di seluruh negara.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali, berkata ia merangkumi kerja menaik taraf kemudahan termasuk tandas, tempat letak kereta dan surau, selaras dengan penambahan jumlah penumpangnya.

"Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kini sudah berusia lebih 20 tahun dan mempunyai pelbagai kategori penumpang, sekali gus memerlukannya memenuhi pelbagai jangkaan.

"Berikutan kedudukan KLIA sebagai hab bagi jemaah umrah rantau ini berlepas ke Tanah Suci, aspek kemudahan seperti ruang surau turut diperbesarkan bagi keselesaan ibadat penggunanya.

"Selain itu, kuota letak kereta untuk pemilik premis di KLIA dan kakitangan MAHB juga akan dikurangkan bagi memberi laluan kepada penumpang meletak kereta," katanya kepada media selepas pelancaran sambutan ulang tahun MAHB ke-25 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Badlisham berkata MAHB juga merancang membina bangunan satelit baharu KLIA pada masa depan, sekali gus menjadikan dua bangunan berkenaan bagi menghubungkan penumpang dari terminal utama.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan tarikh pembinaan bangunan satelit baharu itu tetapi menjelaskan ia sebagai persediaan jangkaan kedatangan penumpang yang kian bertambah.

Badlisham turut memaklumkan, MAHB kini mengendalikan lebih 35 juta penumpang setahun di KLIA berbanding keupayaan sebenar sebanyak 27 juta penumpang.

Pada masa ini, MAHB mengendalikan 38 lapangan terbang di Malaysia termasuk 18 lapangan udara dan pendaratan, selain Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Turki.

Berita Harian X