Rabu, 15 Februari 2017 | 12:07am

Pengurangan dana buku bantut budaya ilmu

MASALAH ketiadaan dana untuk perpustakaan membeli buku ini akan menyebabkan masalah yang berangkai. - Foto hiasan

PENDANAAN perpustakaan yang semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan mencetus kesan domino yang seterusnya membantutkan gerakan membudayakan ilmu.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad, berkata kerajaan yang mahu bergerak ke arah negara maju perlu memberikan perhatian kepada pembangunan ilmu yang bertunjangkan buku.

Beliau berkata, sekiranya kekurangan pendanaan ini berterusan, ia akan merencatkan proses pembangunan ilmu dan juga penerbitan buku.

Tiada dana beli buku

"Masalah ketiadaan dana untuk perpustakaan membeli buku ini akan menyebabkan masalah yang berangkai. Tanpa pasaran, penerbit akan menghentikan penerbitan, kemudian penulis pula berhenti menulis dan ini tentunya akan menyebabkan gerakan membudayakan ilmu terhenti.

"Adalah penting untuk difikirkan mekanisme yang praktikal bagi mengatasi perkara ini. Kita perlu memastikan keseimbangan antara pembangunan dalam bidang lain atau pembaziran yang tidak ketara dengan penerbitan buku," katanya kepada Sastera & Budaya di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA) terhadap isu pengurangan ketara pendanaan perpustakaan awam untuk pembelian buku terbitan baharu sejak beberapa tahun ini, yang dianggap akan memberi kesan kepada pergerakan industri buku dan menjejaskan peranan institusi berkenaan.

BH sebelum ini melaporkan Timbalan Presiden MABOPA, Arief Hakim Sani Rahmat, berkata pemotongan dana pembelian buku secara berterusan akan menggagalkan fungsi perpustakaan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan kaji selidik MABOPA dalam kalangan ahlinya, dianggarkan pembelian buku oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) sepanjang tahun lalu hanya sekitar RM2 juta.

Sementara itu, Ketua Pustakawan Universiti Malaya (UM), Dr Nor Edzan Che Nasir turut senada apabila mahu isu pengurangan dana itu diberi perhatian dan diatasi dengan segera bagi memastikan institusi berkenaan dapat terus menjalankan peranan dalam pembinaan modal insan negara.

Katanya, sebagai institusi yang memperjuang kepentingan budaya membaca dalam kalangan rakyat, ketiadaan dana itu akan menyebabkan perpustakaan tidak dapat menyediakan akses bacaan terkini sehingga masyarakat mula mencari sumber maklumat alternatif yang boleh dipersoal ketepatan maklumatnya.

Pengurangan bajet

"Disebabkan berlaku pengurangan bagi bajet keseluruhan yang diberi, pengurusan perpustakaan perlu bijak dalam pengagihannya supaya pembelian buku tidak diketepikan. Ia sukar tetapi tetap perlu dilakukan," katanya.

Nor Edzan yang juga EXCO Persatuan Pustakawan Malaysia berkata, sebagai menyokong gerakan membudayakan ilmu, rakyat Malaysia perlu disediakan akses kepada ilmu melalui pembacaan daripada bahan yang diperoleh daripada pelbagai perpustakaan di negara ini.

"Justeru, kami amat bersetuju dan mengalu-alukan supaya dana kepada perpustakaan yang dikurangkan sebelum ini, diteliti semula bagi membolehkan pembelian judul tempatan dilakukan, sekali gus bagi menyokong industri buku tempatan.

"Pada masa sama, perpustakaan juga perlu memikirkan cara untuk mendapatkan bahan bacaan baharu dengan menjadikan perpustakaan universiti sebagai 'legal depository' bagi judul ilmiah yang dihasilkan penerbit tempatan supaya komuniti universiti mendapat akses kepada tajuk terkini," katanya.

Nor Edzan berkata, UM sendiri mempergiat usaha mendapatkan buku bacaan baharu melalui program hadiah dan pertukaran dengan organisasi serta institusi dari dalam dan luar negara.

"Sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial dan korporat, kami sendiri membeli buku bacaan baharu bukan ilmiah untuk dihadiahkan kepada perpustakaan desa dalam usaha membantu mereka mendapatkan bahan bacaan baharu," katanya.

Berita Harian X