Rabu, 15 Februari 2017 | 12:08am

Piala FA: JDT tundukkan FELDA United di Jengka

PEMAIN Johor Darul Ta'zim (JDT), Gonzalo Gabriel Ferreira meraikan gol ketika menentang Felda United dalam saingan Piala FA 2017 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

MARAN: Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke pusingan ketiga saingan Piala FA selepas menang 2-0 ke atas FELDA United di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, dekat sini, malam tadi.

Gol pertama perlawanan dijaringkan pemain import Harimau Selatan, Gabriel Guerra pada minit ke-12 hasil rembatan leret ketika keadaan kelam kabut di depan pintu gol FELDA United.

FELDA United cuba bangkit melalui gandingan penyerang import mereka, Gaston Andres Javier Cellerino dan Zah Rahan Krangar, namun buntu.

Peluang terbaik FELDA United hadir pada minit ke-20, namun rembatan Gaston sekadar menggegar tiang gol.

Rentak permainan hambar kedua-dua pasukan menyaksikan kedudukan kekal 0-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, FELDA United melakukan perubahan taktikal yang menyaksikan kapten skuad The Fighters, Muhammad Shukor Adan lebih banyak memainkan peranan di bahagian tengah namun usaha mereka masih gagal menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi.

Pengendali JDT, Benjamin Moira Mendivil memasukkan seorang lagi pemain import, Gonzalo Gabriel Cabrera pada minit ke-61 bagi menggantikan Ahmad Hazwan Bakri.

Percaturan Benjamin Moira Mendivil berhasil apabila Gonzalo Gabriel menjaringkan gol kedua JDT pada minit ke-79, sekali gus meranapkan semangat The Fighters hingga ke penghujung permainan.

Berita Harian X