Rabu, 15 Februari 2017 | 1:21am
Foto hiasan

Juara beregu wanita skuasy Piala Asia Tenggara milik negara

KUALA LUMPUR: Satu gelaran sudah pasti milik Malaysia selepas dua pasangan negara mara ke final kategori beregu wanita pada Kejohanan Skuasy Piala Asia Tenggara ke-3 di Pusat Skuasy Sarawak di Petra Jaya, Kuching, semalam.

Pilihan utama, Chan Yi Wen-Rachel Arnold akan berdepan rakan sepasukan yang juga pilihan kedua, Aifa Azman-Nazihah Hanis pada perlawanan akhir hari ini, selepas kedua-dua pasangan negara itu mencatat kemenangan di separuh akhir.

Chan-Rachel menewaskan pilihan bersama 3/4, Jemyca Aribado-Yvonne Alyssa Dalida dari Filipina 11-8, 11-7, sementara Aifa-Nazihah menumpaskan pilihan bersama 3/4, Catur Yuliana-Rinduri Maulida Arnasty dari Indonesia 11-6, 11-3.

Kategori beregu wanita bermula dengan aksi suku akhir berikutan hanya lapan pasangan yang menyertai acara berkenaan.

Dalam kategori beregu lelaki, dua wakil Malaysia yang mendapat 'bye' di pusingan pembukaan, mara ke separuh akhir selepas mereka menewaskan lawan masing-masing di suku akhir.

Pilihan utama, Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Ng Eain Yow mengetepikan cabaran pilihan bersama 5/8, Lydio Espinola-Reymark Begornia dari Filipina 11-0, 11-3 manakala pilihan kedua, Mohd Addeen Idrakie Bakhtiar-Sanjay Singh Chal menang 11-6, 11-6 ke atas pilihan bersama 5/8, Eris Setiawan-Syauma Siswa Utama dari Indonesia.

Mengikut format kejohanan, pemenang pusingan pertama dalam kategori beregu lelaki mara terus ke suku akhir.

Dalam acara beregu campuran, dua pasangan Malaysia turut menempah slot ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan di peringkat suku akhir.

Sanjay-Rachel yang juga pilihan utama, bagaimanapun berdepan tentangan sengit daripada pilihan bersama 5/8, Ade Furqon-Catur Yuliana dari Indonesia, sebelum meraih kemenangan 10-12, 11-1 dan 11-3.

Pilihan kedua, Mohammad Syafiq-Aifa Azman, dalam pada itu, tidak berdepan masalah apabila mencatat kemenangan mudah 11-3, 11-4 ke atas satu lagi pasangan Indonesia, Nisa Nur Fadillah-Muhammad Rizal.

Untuk rekod, juara bertahan Singapura menganjurkan edisi pertama kejohanan berkenaan pada 2015, diikuti Myanmar tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X