Rabu, 15 Februari 2017 | 9:33am

46,461 calon UPKK dapat semua A

 


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom beramah mesra dengan murid cemerlang Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) Muhammad Uwais Mohd Nor Azam yang mendapat keputusan 8A, turut bersama timbalannya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki dan Ketua Pengarah JAKIM, Tan Sri Othman Mustapha semasa melancarkan semakan keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) Tahun 2016 secara online dan SMS di Kompleks Islam Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

PUTRAJAYA: Seramai 46,461 calon (23.9 peratus) yang menduduki Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK) 2016 memperoleh 8A, peningkatan empat peratus berbanding tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata semua calon mencatat kelulusan 100 peratus, pencapaian selama tiga tahun berturut-turut bagi peperiksaan itu sejak 2014.

"Mata pelajaran Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) mencatat kadar lulus tertinggi iaitu 99.9 peratus, diikuti mata pelajaran al-Quran yang mencatat 99.6 peratus kelulusan.

"Pencapaian ini menunjukkan kejayaan pelajar dalam menguasai ibadat solat, Tilawah Al-Quran dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian," katanya pada sidang media pengumuman keputusan UPKK 2016 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Datuk Dr Mohd Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha.

Jamil Khir berkata, bagi mata pelajaran lain, Jawi dan Khat mencatat kelulusan (94.23 peratus), Lughatul Quran (91.83 peratus) dan Adab (Akhlak Islamiah) (90.48 peratus).

Katanya, seramai 194,258 calon menduduki peperiksaan itu 4,469 pusat peperiksaan seluruh negara.

Keputusan UPKK 2016 boleh disemak secara atas talian dan SMS bermula jam 11 pagi ini, serta di sekolah bermula jam 3 petang ini.

 

 

Berita Harian X