Rabu, 15 Februari 2017 | 10:04am

Pensyarah UTeM menang Anugerah Usahawan Jepun


ANUAR (kiri) menerima sijil yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Kanan Yayasan Takeda, Norio Ohto di Tokyo, Jepun, baru-baru ini - gambar ihsan UTeM

MELAKA: Pensyarah Kanan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Ir Anuar Mohamed Kassim memenangi Anugerah Usahawan 2016, Yayasan Takeda di Jepun, baru-baru ini.

Anugerah dimenangi pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik (Mekatronik) berusia 34 tahun itu diadakan pada majlis simposium anjuran yayasan berkenaan yang berlangsung di University of Tokyo.

Kejayaan itu diperoleh hasil produk inovasi ciptaan Anuar, 'My2nd Eye' bagi membantu golongan cacat penglihatan menjalani kehidupan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM7,800 berserta sijil.

Anuar berkata, anugerah itu diwujudkan bertujuan membantu pembangunan sumber manusia yang membawa kesejahteraan kepada masyarakat, selain untuk memupuk keusahawanan dalam kalangan generasi muda.

"Produk ini (My2nd Eye) berperanan membantu mengesan halangan di atas paras badan, sekali gus memberi isyarat kepada pengguna arah halangan bagi memudahkan pergerakan dengan penggunaan sensor elektronik.

"Sebelum ini, ia (produk) turut mendapat perhatian daripada syarikat Standard Chartered Bank yang melaksanakan usaha global mereka menerusi program 'Seeing is Believing' bersama Agensi Antarabangsa untuk Pencegahan Buta (IAPB) dan Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia dalam mencegah dan merawat masalah cacat penglihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

43 dibaca
Berita Harian X