Rabu, 15 Februari 2017 | 2:46pm

India lancar 104 satelit nano serentak

PELANCARAN PSLV-C37 di Sriharikota. - Foto DD National

NEW DELHI: India melancarkan 104 satelit nano hari ini, sekali gus menjayakan rekod dunia pelancaran satelit paling banyak menerusi satu pelancar, kata agensi angkasa negara itu.

Satelit nano merujuk kepada satelit bersaiz nano atau lebih dikenali sebagai nanosat yang dibangunkan dengan ciri-ciri lengkap satelit buatan tetapi dengan saiz lebih kecil, dengan berat antara satu hingga 10 kilogram.

Daripada 104 satelit terbabit, 101 daripada adalah milik asing yang akan menyediakan perkhidmatan untuk pengguna antarabangsa.

Ia sejajar usaha negara Asia itu meraih penguasaan pasaran lebih besar dalam AS$300 bilion industri angkasa global kini.

"Ia adalah detik paling hebat dalam sejarah kami," kata Pengarah Projek, B Jayakumar.

Perdana Menteri India, Narendra Modi, memuat naik tweet mengucapkan tahniah atas pelancaran yang dikendalikan Pertubuhan Kajian Angkasa India (ISRO).

Pelancaran satelit berlangsung lancar dan ditayangkan secara langsung menerusi saluran berita TV nasional negara itu.

"Usaha membanggakan ISRO ini bertujuan membangunkan komuniti saintifik angkasa dan negara kami," katanya.

"India berbangga dengan kumpulan saintis yang menjayakannya."

Modi sangat agresif dengan program angkasa India dan kerap memuji usaha saintis negara itu tiga tahun lalu yang menjejaki misi menghantar probe ke orbit Marikh pada kos rendah.

Probe angkasa adalah kapal angkasa tanpa pemandu yang direka khas untuk misi penerokaan dan berupaya memancar maklumat persekitaran jelajahnya kembali ke bumi bagi dianalisis saintis di pusat kawalan angkasa.

Kos rendah ISRO ditawarkan India menarik minat ramai pelanggan antarabangsa melancarkan 75 satelit tahun lalu dari Sriharikota di Andhra Pradesh.

Pelancaran PSLV-C37 dalam satu kabin tunggal turut menempatkan satelit penumpang siri Cartosat-2 dan 103 dengan jumlah berat keseluruhan mencecah 650 kilogram.

Daripada 101 satelit nano terbabit, 96 daripadanya dari Amerika Syarikat manakala selebihnya dari Israel, Kazakhstan, Belanda, Switzerland Arab Saudi. - Reuters

Berita Harian X