Rabu, 15 Februari 2017 | 7:30pm

AEON BIG susun semula strategi perniagaan

SUBANG JAYA: AEON BIG (M) Sdn Bhd melaksanakan penyusunan semula strategi perniagaan yang bakal menyumbang terhadap pengukuhan semula perniagaan berasaskan peruncitannya pada suku pertama tahun ini.

Pengarah Urusan, Masayoshi Masuda, berkata keputusan melaksanakan penyusunan semula itu berikutan faktor perubahan ekonomi dan kuasa membeli pelanggannya.

Susulan langkah itu, katanya, syarikat akan menutup operasi tiga pasar raya iaitu AEON BIG Rivercity dan AEON BIG Kota Damasara pada 28 Februari ini serta AEON BIG Bangsar South pada 15 Mac.

"Kakitangan di tiga pasar raya terbabit akan dipindahkan ke pasar raya terdekat yang lain. Langkah ini sebahagian daripada strategi jangka panjang AEON BIG untuk menjenamakan dan menyusun semula rangkaian pasar raya besar kami," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Masuda berkata, keputusan itu dibuat bagi menyesuaikan dengan ekonomi semasa, selain ingin memberi lebih fokus terhadap perniagaan mengikut peredaran masa.

Katanya, langkah seumpama itu perlu supaya dapat menghasilkan pulangan lebih tinggi, sambil mengekalkan kos operasi harian pada paras terkawal.

"Strategi perniagaan kami kini menyusun semula rangkaian pasar raya dan memfokuskan kembali ke arah format perniagaan tunggal. Kenal pasti aspek perniagaan yang perlu diberi penekanan, terutama bahagian yang mempunyai struktur perniagaan lemah.

 

"Perubahan ini bertujuan memupuk pertumbuhan AEON BIG sebagai sebuah syarikat, perniagaan dan jenama untuk menguatkan kedudukan AEON BIG di dalam industri peruncitan Malaysia," katanya.

Menerusi tema `Lebih Pilihan, Nilai Hebat', AEON BIG akan terus menyediakan pilihan berkualiti dengan harga berpatutan bagi memenuhi keperluan pelanggan.

39 dibaca
Berita Harian X