Rabu, 15 Februari 2017 | 9:49pm

DNeX tawar perkhidmatan baharu eWork

KUALA LUMPUR: Dagang NeXchange Bhd (DNeX) melalui anak syarikatnya, MyCall Gateway Sdn Bhd, dilantik oleh Bukti Megah Sdn Bhd sebagai penyedia penyelesaian perkhidmatan sistem permit eWork.

Sebagai penyedia perkhidmatan eWork, DNeX akan menyediakan perundingan, nasihat dan perkhidmatan rakan kongsi teknologi serta penyedia penyelesaian masalah bagi program pekerjaan pekerja asing tanpa izin, termasuk tanpa permit dari 15 negara.

Timbalan Pengerusi Eksekutif DNeX, Datuk Samsul Husin, berkata daripada teras teknologi maklumat (IT) dan e-Services, pihaknya meluaskan lagi keupayaan dengan memberikan perkhidmatan khusus kepada pelanggan.

Katanya, eWork adalah salah satu perkhidmatan baharu yang ditawarkan oleh syarikat, yang mana pelanggan terdiri daripada pihak berkuasa, agensi dan syarikat swasta.

"Sistem berasaskan web itu membolehkan data dihantar kepada Jabatan Imigresen atau pihak berkuasa lain yang berkaitan yang menguruskan pekerja asing.

"Melalui modul pekerjaan, sistem itu membolehkan pengguna, termasuk majikan dan agensi yang dilantik mempunyai akses kepada Pemberitahuan Kelulusan permohonan mereka kepada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Samsul berkata, perjanjian dengan Bukti Megah berkuat kuasa bagi tempoh setahun bermula 15 Februari 2017 dan akan diperbaharui secara automatik setiap tahun, melainkan jika kontrak ditamatkan.

Katanya, Bukti Megah mengendalikan pusat setempat pengambilan dan pengurusan pekerja asing di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri.

"Bukti Megah akan membayar yuran perkhidmatan sebanyak RM30, tertakluk kepada enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), kepada DNeX bagi setiap transaksi atau Permit eWork," katanya.

Beliau menambah, sistem itu juga dibina dengan proses pengesahan seperti yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, dan membolehkan integrasi dengan sistem pihak berkuasa sendiri.

"Turut disediakan laporan dalam talian dan maklumat masa sebenar kepada pengguna, sekali gus menyediakan kemudahan pemprosesan yang lebih cepat," katanya.

101 dibaca
Berita Harian X