Rabu, 15 Februari 2017 | 10:13pm

MyNEWS.com, EasyParcel tawar khidmat kurier PGEON


Pengendali rangkaian MyNEWS.com, Bison Consolidated Bhd bekerjasama dengan EasyParcel Sdn Bhd untuk menyediakan PGEON. - Foto Hafiz Sohaimi

KUALA LUMPUR: Pengendali rangkaian MyNEWS.com, Bison Consolidated Bhd bekerjasama dengan EasyParcel Sdn Bhd untuk menyediakan PGEON, iaitu perkhidmatan penghantaran dan pemungutan bungkusan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bison Consolidated, Dang Tai Luk, berkata syarikat itu sentiasa berusaha meningkat dan mempelbagaikan perkhidmatan bagi manfaat pelanggan dan PGEON adalah tambahan penting ketika industri e-dagang sedang berkembang di Malaysia.

EasyParcel ialah pengendali bungkusan berasaskan web dan penyedia penyelesaian penghantaran e-dagang yang menawarkan pengguna pos dengan pilihan supaya bungkusan dihantar atau dipungut di mana-mana cawangan MyNEWS.com.

"Perkhidmatan PGEON akan menyumbang kepada peningkatan pendapatan Bison. Apabila jumlah meningkat, kami akan mengenakan caj untuk perkhidmatan berkenaan.

"Pada masa sama, ia akan membantu menarik orang ramai ke kedai itu dan secara tidak langsung mewujudkan permintaan untuk produk lain," katanya pada majlis pengumuman kerjasama itu di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan lebih 300 cawangan runcit MyNEWS.COM di seluruh negara, ia juga akan membantu perkhidmatan PGEON mendekati lebih ramai pelanggan.

Ketika ini, makanan dan minuman menyumbang kira-kira 39 peratus pendapatan syarikat, 35 peratus daripada jualan produk tembakau dan selebihnya daripada produk serta perkhidmatan lain.

Sementara itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif EasyParcel, Clarence Leong Chee Yee berkata, keperluan untuk menghantar dan menerima barangan tepat pada masanya atau penghantaran pada hari sama adalah alasan utama untuk bekerjasama dengan myNEWS.com.

Beliau berkata, perkhidmatan PGEON akan membantu syarikat kurier dan pengguna perkhidmatan pos kerana kakitangan kurier hanya perlu memungut dan menghantar bungkusan di kedai myNEWS.com ditetapkan dan bukan di rumah dan dengan itu dapat menjamin privasi pengguna.

"PGEON diterima baik oleh pengguna dalam tempoh percubaan selama sebulan di mana kami mengendalikan kira-kira 1,000 bungkusan.

"Bungkusan yang dikendali di kedai terbabit terhad kepada saiz A4 serta tidak lebih lima kilogram," katanya.

Setakat Januari, Leong berkata, EasyParcel memproses lebih tiga juta bungkusan dan memberi perkhidmatan kepada lebih 100,000 pelanggan tempatan serta antarabangsa.

EasyParcel, dilancar oleh Exabytes pada 2014, adalah platform perkhidmatan logistik bersepadu pertama Malaysia dan menghubungkan pembekal perkhidmatan logistik dan penghantaran seperti Poslaju, Skynet, Airpax, Nationwide dan DHL sebagai platform e-dagang bersepadu tunggal, kepada perniagaan dan pengguna. - BERNAMA

62 dibaca
Berita Harian X