Rabu, 15 Februari 2017 | 10:16pm

Malaysia sapu bersih skuasy Piala Asia Tenggara

KUALA LUMPUR: Skuad remaja kebangsaan menyapu bersih ketiga-tiga gelaran di Kejohanan Skuasy Piala Asia Tenggara Ketiga di Pusat Skuasy Sarawak di Petra Jaya, Kuching, hari ini.

Gelaran pertama hadir menerusi pasangan Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman yang menang 11-5, 11-8 selepas mengejutkan rakan sepasukan yang juga pilihan utama, Sanjay Singh Chal-Rachel Arnold dalam acara beregu campuran.

Mohammad Syafiq yang kemudiannya berpasangan dengan Ng Eain Yow mengutip gelaran kedua untuk Malaysia selepas menundukkan satu lagi beregu negara, Mohd Addeen Idrakie Bakhtiar-Sanjay 6-11, 11-9, 11-9 di final beregu lelaki.

Beregu wanita, Chan Yi Wen-Rachel pula melengkapkan kejayaan gemilang negara selepas menundukkan rakan sepasukan, Aifa-Nazihah Hanis 11-9, 10-11, 11-9.

Lima negara ASEAN mengambil bahagian dalam acara tahunan itu iaitu Indonesia, Filipina, Thailand, juara bertahan Singapura dan Malaysia serta Hong Kong sebagai pasukan jemputan.

Sebagai rekod, Singapura menganjurkan edisi pertama kejohanan pada 2015, diikuti Myanmar tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X