Khamis, 16 Februari 2017 | 8:47am

Penyelia ladang antara ditahan miliki syabu

DADAH jenis Syabu yang dirampas dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kunak di ladang kelapa sawit Tanah Rata Jalan Kunak-Semporna. - Foto Ihsan IPD Kunak

KUNAK: Polis menahan lima lelaki termasuk penyelia ladang kerana disyaki terbabit dalam penagihan dan pengedaran dadah menerusi serbuan berasingan di ladang kelapa sawit Tanah Rata Jalan Kunak-Semporna dan Jalan Kampung Kunak Jaya, dekat sini, petang semalam.

Semua suspek termasuk dua warga asing itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak, masing-masing pada jam 5 petang dan 7 malam.

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasarudin M Nasir, berkata seorang penyelia bersama tiga pekerja ladang ditahan di sebuah rumah di ladang kelapa sawit Tanah Rata sebelum polis menemui satu botol plastik dalam sebuah bilik mengandungi 20 paket plastik lutsinar pelbagai saiz.

"Pemeriksaan lanjut mendapati bahan terbabit ialah ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.2 gram," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Nasarudin berkata, dalam serbuan berikutnya, polis menahan seorang lelaki tempatan yang melarikan diri ketika cuba diperiksa Jalan Kampung Kunak Jaya.

"Pemeriksaan terhadap beg silang dipakai suspek menemui satu peket plastik ubat tertera nama sebuah klinik namun di dalamnya mengandungi ketulan kristal disyaki syabu seberat 2.7 gram dan 12 bijil pil merah disyaki Erimin 5 seberat 3.2 gram.

"Semua suspek berumur 19 hingga 42 tahun dibawa ke IPD Kunak untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 39A (1) akta sama.

Berita Harian X