Selasa, 23 Disember 2014 | 3:36pm
MOHD Shahrizan (tengah) bersama pegawainya menunjukkan serbuk soda serta pelbagai barang kes untuk menghasilkan dadah jenis syabu pada sidang media di IPK Melaka, Bukit Beruang hari ini. - Foto Rasul Azli Samad

Polis lumpuhkan makmal proses dadah di Jasin

MELAKA: Polis berjaya menumpaskan sebuah makmal pemprosesan dadah jenis syabu yang membawa kepada rampasan 38.98 kilogram cecair berwarna perang dan ketulan kristal disyaki syabu dianggarkan bernilai RM5.2 juta di sebuah rumah di ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Tinggi, Jasin petang semalam.

Operasi jam 2 petang itu dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman bersama pasukan STING dengan kerjasama JSJN Ibu Pejabat Polis (IPK) Melaka Tengah.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Shahrizan Che Mat Din berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan dan seorang warga India berusia antara 29-41 tahun.

Semua suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 29 Disember ini dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang media di IPK Melaka, sebentar tadi.

Mohd Shahrizan berkata, warga India berusia 31 tahun itu mempunyai permit kerja di sektor perladangan sehingga April depan manakala dua warga tempatan itu masing-masing berusia 29 dan 41 tahun bekerja sebagai pemandu teksi dan pemandu lori.

Katanya, siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan memiliki barangan curi.

Berita Harian X