Khamis, 16 Februari 2017 | 9:10pm

Perubahan platform stesen KTMB mulai Isnin


PENUMPANG sedang menunggu untuk menaiki tren di KTMB Batu Caves.

KUALA LUMPUR: Kereta Api Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan kerja menaik taraf kemudahan landasan berkembar Lembah Klang, membabitkan sektor kritikal antara stesen KL Sentral dan Segambut, mulai Isnin ini.

Sehubungan itu, Unit Komunikasi Korporat KTMB menjelaskan pemberhentian tren komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS), masing-masing di Stesen Kuala Lumpur serta KL Sentral, akan mengalami perubahan.

Platfrom satu dan dua untuk perkhidmatan tren komuter KTMB di Stesen Kuala Lumpur dan KL Sentral akan ditutup sementara berkuat kuasa 20 Februari ini.

Oleh itu, laluan Batu Caves-Rawang-Tanjung Malim dan Pelabuhan Klang-Seremban-Tampin di Stesen Kuala Lumpur, masing-masing yang menggunakan platform dua serta tiga sebelum ini akan dipindahkan ke platform tiga dan empat.

Stesen KL Sentral untuk perkhidmatan tren KTMB di Stesen KL Sentral pula akan menyaksikan perubahan laluan Batu Caves-Rawang-Tanjung Malim dari platform tiga kepada empat.

Laluan Pelabuhan Klang dan Seremban-Tampin, masing-masing menggunakan platform lima serta enam beroperasi seperti biasa.

Perkhidmatan ETS di Stesen Kuala Lumpur pula akan dipindahkan ke platform tiga untuk laluan ke utara merangkumi Ipoh, Butterworth dan Padang Besar, manakala platform empat adalah bagi laluan selatan, iaitu Gemas.

Bagi Stesen KL Sentral, semua perkhidmatan ETS ke utara dan selatan akan dipindahkan dari platform satu dan dua sebelum ini kepada platform tiga saja.

"KTMB menjangkakan pelanggan akan mengalami masalah kerana perubahan platform, namun kami berusaha untuk membantu dengan menyediakan papan tanda dan memperuntukkan lebih banyak kerusi, khususnya pada waktu puncak," katanya.

168 dibaca
Berita Harian X