Jumaat, 17 Februari 2017 | 12:01am

Haiza 'buang' kawan berhati busuk

KUALA LUMPUR: Semua orang tahu hidup penyampai stesen radio Kool FM, Haiza, berubah selepas menyertai musim kedua program realiti, Gegar Vaganza (GV2), dua tahun lalu.

Selepas 20 tahun menjadi artis dengan bermacam kisah suka duka dan sepak terajang dunia seni dirasai, Haiza mula 'menuai' hasil titik peluh pengorbanannya.

Mensyukuri rezeki yang diberi, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 36, percaya nikmat yang hadir bukanlah 'tiket' untuk dirinya alpa, jauh sekali berbangga diri.

Namun, adat manusia, tidak semua orang berhati mulia. Melihat Haiza tiba-tiba diulit kejayaan satu persatu, ada saja mata yang memandang penuh prasangka, tidak kurang juga yang cemburu dengan kejayaan diraih anak jati Benut, Pontian ini.

Mendekati si empunya diri, Haiza mengaku peluang kedua yang datang menuntutnya lebih berhati-hati dalam mengatur langkah dan perancangan masa depan termasuk dalam berkawan.

Mengenang detik hitam dalam bertatih mencari tapak, Haiza mengaku ada insan mengambil kesempatan dan bertindak di luar batasan hingga dirinya ibarat 'jatuh terduduk'.

PENYAMPAI Kool FM, Haiza. NSTP/Munira Abdul Ghani

"Cabaran memang banyak dan tak akan berhenti. Orang depan kita nampak manis, segala-galanya indah. Tetapi di belakang kita, hanya Tuhan saja tahu.

"Semakin kita ke depan, semakin ada yang tak suka kita. Saya sedar dan tahu perkara ini. Kalau saya kongsi cerita inipun, dia pasti terasa," katanya meluahkan perasaan.

Haiza mengaku membuat saringan dalam berkawan dan cuba menjauhi individu yang mempunyai aura negatif.

"Saya bersyukur diberi kesempatan untuk mengesan ada individu yang tak senang dengan apa yang kita kecapi. Jadi, ini membuatkan saya lebih kebal untuk melindungi diri.

"Dalam hal ini saya tak perlu buktikan apa-apa atau kepada sesiapa. Ini kerana apa saja yang saya lakukan, pasti dilihat negatif saja.

"Orang seperti ini, memang tak mahu saya terus ke depan. Sikap manusia, dengki dan cemburu pasti ada. Saya harap tak terus larut dengan hal begini," katanya.

PENYANYI dan Penyampai Kool FM, Haiza Hanafi bersama suami, Norhanapfe Omar dan anaknya, Iman. - Foto NSTP/Munira Abdul Ghani

Kongsi rezeki dengan insan tercinta

Akui Haiza, dia bersyukur kerana keluarga tersayang, peminat, majikan dan rakan media terus memberi sokongan tanpa bersikap prejudis.

"Orang hanya nampak kita gembira saja. Tapi apabila susah, biarlah saya pendam sendiri. Selama ini pun saya bergelut turun naik membuktikan bakat yang ada. Saya tak gentar. Saya jadi lebih kuat dengan sokongan insan tercinta.

"Saya ada suami, anak, ibu bapa dan kelab peminat, Haiza Trooper serta rakan media yang terus positif berdiri di belakang. Mereka yang bersikap positif inilah yang perlu saya dekati," katanya.

Haiza menyifatkan kehadiran tahun baharu menjadikan dirinya selektif dalam berkawan.

"Lumrah ada manusia yang depan kita pijak semut pun tak mati. Golongan ini hanya nak kita jatuh, bukannya maju," katanya.

HAIZA semasa Pelancaran New Aveda Experience Pusat Concept Store di Pavilion, Jalan Bukit Bintang. - Foto Shiraz Yasmine Ali

Peluang kedua untuk dirinya menyinar kembali juga dianggap rahmat hidup yang tidak mahu dipersiakan.

"Tiada tiket mudah untuk saya berada pada tahap ini. Rakan media yang kenal saya pasti tahu pergelutan dilalui. Namun, saya percaya rezeki ini, Allah nak bagi tanpa kita boleh mengagak bila. Nak dapat lagi momen sama belum tahu lagi. Jadi saya rebut saja peluang dan kemanisan yang datang ini," katanya.

Haiza berpegang kepada ketetapan bahawa rezeki yang diperoleh untuk dikongsi bersama ibu bapa, suami dan anak-anak.

Kekal cantik demi peminat

Meneruskan survival sebagai anak seni, Haiza percaya ada pelaburan yang perlu dibuat dalam menjaga penampilan dan kecantikan diri.

"Jaga badan dan kekal cantik sudah menjadi keperluan artis. Saya sudah melalui situasi kerjaya naik turun. Macam badan saya jugalah. Kejap naik, kejap turun. Selepas melahirkan anak pada tahun 2012, saya hadapi masalah berat badan.

"Dulu saya macam tak ambil 'pot' (peduli). Saya hanya bersikap sambil lewa. Tapi selepas difikir semula, industri hiburan memang mahukan kita sentiasa cantik.

PENYAMPAI Kool FM, Haiza. - Foto NSTP/Munira Abdul Ghani

"Jika peminat sanggup melaburkan wang dan apa saja untuk kita, kenapa tidak kita laburkan sedikit untuk kekal cantik," katanya.

Berkongsi rahsia kecantikan, Haiza mengaku mengamalkan diet.

"Tapi bukanlah diet cara militari yang diamalkan sesetengah orang. Seiring dengan pertambahan beban kerja, makan malam pun tak sempat. Ia sedikit sebanyak membantu saya menurunkan berat badan. Kalau dulu makan malam sudah menjadi tabiat. Manalah berat badan tak naik.

"Apabila penat bekerja, suami ajak makan malam pun ditolak. Jadi, selalunya, pada sebelah malam, saya hanya minum dan tidur," katanya.

INFO: Haiza

  • Sebaik kontrak bersama stesen radio Best FM tamat, Haiza dilamar Kool FM dan mula bertugas Mac tahun lalu.

  • Melancarkan semula Restoran Zainab Larut Malam yang diusahakan ibunya sejak lebih 30 tahun lalu di kampung halamannya di Benut, Pontian Johor. Restoran itu berkonsep hipster dan tradisional.

  • Pernah menghasilkan produk jus kesihatan untuk wanita iaitu H.A.I.Z.A JUS CURCUMAE VIT-PLUS dan mempromosikannya semula tahun ini.

HAIZA semasa Pelancaran New Aveda Experience Pusat Concept Store di Pavilion, Jalan Bukit Bintang. - Foto Shiraz Yasmine Ali
Berita Harian X