Jumaat, 17 Februari 2017 | 12:07am

Perangi riba ke akar umbi


WASPADA amalan riba dalam apa juga urus niaga. - Foto hiasan

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya." (Surah Ali-Imran, ayat 130)

Sebahagian mufasirin menyatakan, ayat ini adalah ayat terakhir yang diturunkan iaitu tiga bulan sebelum wafatnya Rasulullah SAW. Dalam riwayat Ibnu Abbas, katanya, "Ayat terakhir dinuzulkan kepada Rasulullah SAW ialah ayat berkenaan riba." (Riwayat al-Bukhari)

Riwayat ini ialah pengharaman riba di Madinah melalui ayat dalam surah al-Baqarah. Malah ayat hukum yang terakhir turunnya ialah ayat berkenaan pengharaman riba meliputi riba al-fadl (lebih) dan riba al-nasi'ah (bertangguh).

Memandangkan besarnya bahaya menimpa umat dan masyarakat akibat riba, Islam dengan tegas mengharamkan kedua-dua jenis riba. Setiap pemberian hutang yang diambil faedah daripadanya adalah riba dan diharamkan sama ada manfaat atau beban, sedikit mahupun banyak kali.

Amalan riba di bank hari ini termasuk dalam kategori riba jahiliah atau riba nasi'ah yang dilarang oleh Islam menerusi nas al-Quran tidak boleh dipertikaikan. Riba nasi'ah ialah seseorang dibenar menangguhkan tempoh pembayaran hutang dengan ditambah keuntungannya pada setiap kali ia ditunda.

Ibnu Kathir berkata, pada zaman jahiliah apabila sampai tempoh untuk membayar hutang, si pemberi hutang akan bertanya: "Adakah kamu hendak membayar hutang sekarang ataupun nanti tetapi berjumlah dua kali ganda."

Jika penghutang membayar sekarang, maka selesailah hutangnya. Tetapi, jika dia ingin melanjutkan tempoh hutang itu, maka mesti ditambah kadar bunganya hingga berlipat ganda hutangnya itu.

Amal tolong-menolong

Rasulullah SAW bersabda: "Jauhilah kamu daripada tujuh perkara yang membinasakan. Sahabat bertanya: Apakah perkara itu wahai Rasulullah? Sabdanya: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh nyawa yang dilarang Allah membunuhnya kecuali dengan kebenaran, makan riba, makan harta anak yatim, mengundur pada hari peperangan, menuduh zina terhadap wanita mukmin yang baik hati dan tidak terlintas pada hatinya untuk berzina." (Riwayat al-Bukahri)

Riba atau pengambilan faedah berganda daripada hutang pokok bertentangan dengan dasar pendidikan Islam. Justeru, masyarakat perlu memerangi habis-habisan hingga ke akar umbi dan menggantikannya dengan muamalat Islam yang mengamalkan dasar tolong-menolong dan berkasih sayang sesama manusia.

Al-Maraghy berkata, hendaklah kamu takut kepada Allah SWT mengenai hal yang kamu dilarang mengerjakannya termasuklah riba. Sehingga hati kamu tidak bersifat kejam terhadap hamba Allah SWT yang berada dalam kesusahan dan kemelaratan. Dengan tidak mengenakan riba kepada mereka, mudah-mudahan kamu dapat hidup bahagia di dunia. Sesungguhnya perasaan rasa belas kasihan inilah yang menjadi asas kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Larangan riba disusuli dengan ayat: "Dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya." Maksudnya, jadikan takwa kepada Allah SWT sebagai penghalang supaya dengan kawalan ini akan beroleh kemenangan di dunia dan akhirat.

Sabda Rasulullah SAW: "Akan tiba kepada manusia satu zaman, seseorang tidak peka kepada harta yang diperolehnya, sama ada halal atau haram." (Riwayat al-Bukhari)

Nabi SAW memberitahu umatnya sebagai amaran terhadap fitnah harta. Amaran itu sebahagian daripada dalil kenabiannya kerana keadaan seumpama itu tidak wujud pada zaman baginda Rasulullah SAW.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

29 dibaca
Berita Harian X