Jumaat, 17 Februari 2017 | 10:32am

Trump bakal keluar arahan baharu

PRESIDEN Donald Trump. - Foto Reuters

WASHINGTON: Presiden Donald beliau akan mengeluarkan arahan eksekutif baharu bagi menggantikan langkah kontroversi menggantung kemasukan rakyat dari tujuh negara majoriti Islam ke Amerika Syarikat (AS).

Pada sidang akhbar di Rumah Putih semalam, Trump berkata, arahan baharu itu bertujuan menangani kebimbangan dibangkitkan hakim mahkamah rayuan persekutuan, yang menghalang larangan perjalanan itu buat sementara.

"Arahan baharu itu bersesuaian dengan apa yang saya anggap keputusan amat buruk. Kita mempunyai mahkamah yang teruk," katanya.

Trump tidak memberi butiran mengenai arahan ganti itu. Pakar perundangan berkata, arahan berkenaan berpeluang cerah mencabar mahkamah jika ia meliputi beberapa negara bukan Islam dan mengecualikan pendatang yang tinggal di AS secara sah.

Arahan asal yang dikeluarkan 27 Januari lalu, mencetuskan kekecohan di lapangan terbang di AS dan negara luar, membawa kepada bantahan antarabangsa, rungutan daripada perniagaan negara itu dan menarik lebih 12 cabaran perundangan.

Dalam dokumen mahkamah semalam, Jabatan Kehakiman meminta penggantungan prosiding di Mahkamah Rayuan, yang menyebelahi mahkamah persekutuan di Washington untuk menggantung larangan perjalanan.

Jabatan Kehakiman meminta mahkamah membatalkan perintah sebaik pentadbiran menarik balik arahan asal dan mengeluarkan yang baharu. - Reuters

Berita Harian X