Sabtu, 18 Februari 2017 | 12:01am

Risteena tidak cemburu Ruhanies lebih popular

KUALA LUMPUR: Istilah cemburu tidak pernah ada dalam kamus hidupnya, terutama apabila melihat adiknya, Ruhainies, 23, lebih pantas mendaki puncak populariti. Perjalanan kerjaya Risteena Munim, 27, dilihat merangkak perlahan berbanding kemunculan adiknya yang pantas mengecap populariti.

Situasi itu bagaimanapun, tidak sesekali menimbulkan iri hati atau mencabar kewibawaan Risteena. Pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Menjinak Ombak dan Playboy Itu Suami Aku sering berkongsi kegembiraan dengan adiknya.

Akur memiliki perbezaan karakter yang ketara, Risteena berkata, isu itu tidak perlu ditimbulkan kerana mereka hanya mencari rezeki untuk dikongsi bersama keluarga.

"Berbanding Ruhainies yang lebih peramah, manja dan mudah didekati, saya pula agak pendiam. Saya bangga dengan pencapaian Ruhainies, malah tidak cemburu apabila namanya lebih popular. Kami membesar bersama, jadi perasaan iri hati tidak perlu ada.

"Bukankah pencapaian Ruhainies itu membanggakan kami sekeluarga? Kami mencari rezeki untuk dikongsi bersama kedua-dua orang tua, jadi penat lelah itu tidak pernah terasa," katanya.


PELAKON, Nur Ruhainies Farehah (kiri) dan Kakaknya, Nur Risteena Munim. - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

Risteena atau nama sebenarnya, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas akur, namanya kurang popular disebabkan tiada kontroversi atau cerita panas, tidak seperti adiknya itu.

"Pada awal kemunculan, saya pernah dilabel sebagai diva dan berlakon kayu. Sejak itu, saya trauma dan berhati-hati dalam setiap langkah. Saya juga sukar didekati lelaki. Bukan kerana saya sudah ada kekasih hati, tetapi ia sifat semula jadi saya. Boleh dihitung dengan jari jumlah kawan lelaki saya.

"Saya tidak seperti Ruhainies yang mempunyai ramai kawan terutama dalam kalangan artis. Saya jenis habis kerja akan terus pulang ke rumah. Saya tidak pandai melepak dengan teman artis. Disebabkan terlalu menjaga diri, saya tidak terjebak dengan kontroversi. Apabila nama terlalu bersih, orang akan cepat bosan," katanya.

Hati masih terkunci

Risteena berkata, walaupun pernah dihimpit beberapa pelakon lelaki popular, hatinya tidak terbuka untuk menerima lamaran cinta mereka.

"Saya tidak suka melepak dengan artis lelaki, walaupun ada yang cuba merapati. Pernah seorang pelakon lelaki popular berkali-kali memujuk saya untuk menimbulkan kontroversi, tetapi saya tidak suka kerja gila. Saya tidak layan, malah mengelak daripada bertemu dengannya lagi.


PELAKON, Nur Ruhainies Farehah dan Kakaknya, Nur Risteena Munim (kiri). - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

"Saya belum bersedia membuka ruang kepada mana-mana lelaki untuk didekati atau dicintai. Apa yang saya fikirkan ialah mahu mencari duit dulu," katanya yang kini berada di kota suci menjalani penggambaran drama Kisah Dari Makkah terbitan Zeel Production Sdn Bhd.

Drama bersiri 15 episod arahan Fadzil Teh dan Hairi Safwan itu turut menggandingkannya dengan Ruhainies. Ia bakal bersiaran di Astro Oasis.

Jarang terima undangan fotografi

Gadis kelahiran Kepala Batas, Pulau Pinang itu juga jarang dapat menerima undangan sesi fotografi. Bukan berlagak, sebaliknya jadual penggambaran yang terlalu padat menyebabkannya terpaksa menolak.

"Saya tahu ada yang menganggap saya sombong apabila kerap menolak pelawaan untuk sesi fotografi. Saya terlalu sibuk dengan jadual penggambaran. Pada awal pembabitan dulu, saya pernah trauma dengan wartawan. Ketika itu, saya baru beberapa bulan menjadi pelakon dan masih belum faham cara kerja mereka.


PELAKON, Nur Ruhainies Farehah dan Kakaknya, Nur Risteena Munim (kiri). - Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

"Ketika drama Menjinak Ombak meraih perhatian, saya pernah dihubungi wartawan untuk mengatur sesi fotografi. Saya seronok sangat dan minta pelepasan penggambaran. Malangnya, apabila tiba hari yang dijanjikan, kumpulan produksi tidak dapat melepaskan saya kerana ada beberapa babak penting yang harus dilakukan.

"Saya terpaksa menghubungi wartawan untuk memintanya datang ke lokasi penggambaran. Beberapa hari selepas itu,

muncul artikel mengatakan Risteena diva dan panggil wartawan datang ke lokasi. Saya terkejut, malah tidak tahu ia membuatkan wartawan itu terasa hati," katanya.

Risteena berkata, kejadian itu membuatkannya serik dan hanya menerima tawaran sesi fotografi ketika terluang kerana bimbang pisang akan berubah dua kali.


PELAKON, Nur Ruhainies Farehah dan kakaknya, Nur Risteena Munim (kiri). - Foto NSTP/NUrul Syazana Rose Razman

INFO

  • Risteena mula mencipta nama menerusi drama Menjinak Ombak dan Playboy Itu Suami Aku.

  • Nama sebenar Risteena, Nur Risteena Munim Zainul Ilyas.

  • Akan bergandingan dengan Ruhainies dalam drama bersiri 15 episod `Kisah Dari Makkah' terbitan Zeel Production Sdn Bhd.
dibaca
Berita Harian X