Sabtu, 18 Februari 2017 | 12:02am

Disleksia lambatkan proses pembelajaran

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia lebih lima tahun tetapi belum boleh membaca dan mengeja perkataan dengan suku kata mudah tidak boleh dibiarkan begitu saja.

Anggapan ibu bapa perkara ini normal sebenarnya kurang tepat kerana anak mungkin mengalami ketidakupayaan atau gangguan pembelajaran khusus (LD) yang sebelum ini dikenali sebagai Disleksia.

Kanak-kanak LD lazimnya sukar membaca, tulisan tidak berapa kemas dan gagal menyelesaikan masalah matematik.

Pakar Perunding Pediatrik dan Perkembangan Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Raja Juanita Raja Lope, berkata mengenal pasti awal masalah LD dalam kalangan kanak-kanak penting bagi membolehkan masalah itu diatasi segera menerusi kaedah rawatan terbaik.


LD boleh dikesan awal semasa tadika yang mana mereka sukar mengenal abjad seperti A, B, C dan sesetengah mereka lewat dari segi pertuturan dan pemahaman. - Foto hiasan

Kesan seawal peringkat tadika

"LD boleh dikesan awal semasa tadika yang mana mereka sukar mengenal abjad seperti A, B, C dan sesetengah mereka lewat dari segi pertuturan dan pemahaman.

"Apa yang kita perlu dalam membaca adalah kesedaran fonemik iaitu asas pembacaan dalam kebanyakan bahasa seperti bunyi a, b, c," katanya.

Dr Raja Juanita berkata, biasanya kanak-kanak berumur empat tahun setengah hingga lima tahun, sudah nampak kesedaran fonemik, mungkin tidak boleh baca tetapi memahami perbezaan bunyi.

Katanya, kanak-kanak berusia tiga tahun hingga empat tahun yang pergi ke tadika lazimnya sudah mampu sekurang-kurangnya mengenal huruf.

Sebelum masuk tahun satu, sudah boleh membaca tiga hingga empat suku kata dan boleh membaca buku dengan ayat ringkas.


KANAK-KANAK akan diajar mengeja menerusi pendekatan fonik (pengkodan fonologi) yang mengajar kombinasi bunyi sesuatu huruf dan pendekatan pelbagai deria untuk mengingatkan anak bunyi huruf a dan sebagainya. - Foto hiasan

Latih kemahiran membaca

Jangan biar anak tidak boleh membaca dan mengira sehingga mereka masuk Tahun Satu kerana keadaan itu menyulitkan lagi proses pembelajaran pada peringkat sekolah rendah.

"LD yang dikenal pasti lebih awal dapat ditangani dengan lebih cepat dan meningkatkan pencapaian kanak-kanak terutama dalam membaca.

"Kanak-kanak akan diajar mengeja menerusi pendekatan fonik (pengkodan fonologi) yang mengajar kombinasi bunyi sesuatu huruf dan pendekatan pelbagai deria untuk mengingatkan anak bunyi huruf a dan sebagainya," katanya.

Sesetengah kanak-kanak mungkin terlewat sedikit untuk kemahiran membaca boleh dilatih dengan pendekatan fonik tetapi bagi yang lebih perlahan pembelajarannya, mungkin memerlukan pendekatan secara individu.

Tidak dapat mengeja juga menimbulkan kesukaran untuk mengalami masalah penulisan karangan dan pemahaman sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.


IBU bapa perlu memastikan anak cukup tidur dan makan pada masa tetap kerana ramai kanak-kanak pergi ke sekolah tanpa sarapan hingga mengganggu daya tumpuan anak. - Foto hiasan

Cukup tidur, makanan seimbang

Ada sebahagian kanak-kanak LD mengalami masalah mengira, boleh menyelesaikan masalah darab dan bahagi tetapi berkemungkinan bermasalah sekiranya perlu menjawab soalan matematik dalam bentuk penulisan.

Selain terapi, tiada ubat lain boleh digunakan untuk mengatasi LD tetapi sekiranya membabitkan masalah berkaitan tumpuan atau ADHD, kadangkala ubat boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan kanak-kanak berkenaan.

"Sebaiknya ibu bapa memastikan anak cukup tidur dan makan pada masa tetap kerana ramai kanak-kanak pergi ke sekolah tanpa sarapan hingga mengganggu daya tumpuan anak.

"Senaman juga penting berbanding gaya hidup lebih banyak duduk bagi meningkatkan tahap kepekaan anak," katanya.


PAKAR Perunding Pediatrik dan Perkembangan Pediatrik, Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr Raja Juanita Raja Lope. - Foto Rohanis Shukri

Capai kejayaan pelbagai bidang

Dr Raja Juanita berkata, kanak-kanak yang mengalami LD bukan bermakna mereka tidak pandai kerana tahap IQ mereka boleh dikatakan normal sekiranya dibandingkan dengan kanak-kanak lain.

Katanya, kanak-kanak ini tidak mengalami masalah lain yang membolehkan mereka mempelajari pelbagai perkara lain dan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

INFO

Punca:

- Bahagian otak yang memproses kesedaran fonemik dan bahasa pada kanak-kanak sehingga menjejaskan keupayaan membaca.

- Ujian radiologi menunjukkan bahagian otak yang terbabit dalam pembacaan kurang aktif.

(Bahagian kiri parietal dan kawasan occipito-temporal).

Faktor lain;

  • Keturunan

  • Persekitaran yang tidak merangsang pembelajaran.

  • Bahagian otak membabitkan fonemik tidak berfungsi sepenuhnya.

  • Tiada rangsangan otak sejak kecil.

  • Epilepsi atau sawan.

  • Kelahiran pramatang.

  • Kecederaan kepala.

  • Ibu ketagih alkohol ketika mengandung.

  • 40 peratus kanak-kanak LD turut mengalami ADHD.

  • Kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami LD berbanding perempuan LD.

  • Kanak-kanak lelaki LD lebih cemerlang berbanding kanak-kanak perempuan LD.

Langkah untuk ibu bapa:

  • Kurangkan gajet.

    (sekiranya belajar menerusi gajet, pastikan batas masa ditetapkan dan tidak terlalu lama).

  • Pupuk minat anak membaca sejak kecil.

  • Bincang dengan guru mengenai pencapaian anak.

Kelaziman LD:

  • 5-7 peratus kanak-kanak berusia sehingga 18 tahun mempunyai LD (420,000 kanak-kanak di Malaysia).

  • 30-40 peratus kanak-kanak LD mempunyai ahli keluarga dengan masalah pembelajaran termasuk disleksia.
47 dibaca
Berita Harian X