Sabtu, 18 Februari 2017 | 1:52am

Mitos Gunung Paektu mungkin inspirasi pembunuhan Jong-nam

GAMBAR fail, gunung berapi Paektu yang memiliki tasik kawah dalam, diambil pada 18 Jun 2014. - Foto AP

SEOUL: Sebuah kawasan gunung berapi tandus namun indah di sempadan Korea Utara-China mungkin menjadi kunci bagi merungkai kematian secara tiba-tiba dan penuh misteri seorang pewaris kepimpinan Korea Utara yang hidup dalam buangan.

Agensi perisikan Korea Selatan percaya, Kim Jong-nam yang dibunuh Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), menjadi sebahagian komplot lima tahun pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un untuk membunuh abang yang dilaporkan tidak pernah ditemuinya.

Jika tuduhan itu benar, motif pembunuhan kemungkinan melebihi hubungan persaudaraan dan gunung berapi itu adalah petunjuknya. Mengapa?

Gunung berapi itu, dikenali Paektu, memiliki tasik kawah dalam, berada dalam mitos penubuhan Korea Utara dan digunakan untuk mengesahkan kuasa tiga generasi keluarga Kim.

Paektu dipaparkan dalam simbol kebangsaan Pyongyang dan namanya digunakan dalam segala-galanya daripada roket sehinggalah stesen jana kuasa dan kadang kala negara itu sendiri.

Lebih penting, ia dianggap sebagai jelmaan semula dari segi geografi mendiang datuknya, Kim Il-Sung, individu paling penting dalam sejarah Korea Utara.

Il-Sung menyelamatkan Semenanjung Korea, menurut penceritaan rasmi Pyongyang, dengan serbuan gerila berani ke atas penceroboh Jepun dari pangkalannya di cerun Paektu.

Oleh kerana adik beradik pemimpin Korea Utara itu berkongsi keturunan mulia dan berani, 'darah Gunung Paektu', hakikat bahawa walaupun tidak menonjol, Jong-nam sentiasa memberi ancaman kepada Jong-un.

Selagi beliau hidup, dia berkongsi secara tidak langsung dan mungkin terpaksa, dalam ledakan propaganda dikaitkan dengan gunung berapi suci itu, semuanya membuktikan bahawa keturunan Kim satu-satunya pemimpin tunggal Korea Utara.

Menurut agensi perisikan Korea Selatan, Jong-nam pernah menulis surat kepada adik lelakinya merayu supaya tidak dibunuh.

Jika perisik Korea Selatan betul terhadap tuduhan abang Jong-un itu dibunuh, sesuatu yang belum diakui pihak berkuasa Malaysia, lebih-lebih lagi Korea Utara, kebimbangan hubungan persaudaraan itu menjadi alasan kuat buat Pyongyang melakukan serangan.

"Jong-un mungkin menganggap beliau hampir selesai dalam penyatuan kuasa dan menyingkirkan Jong-nam adalah sentuhan terakhir untuk menghapuskan potensi sumber masalah," kata Koh Yu-hwan, seorang pakar Korea Utara di Universiti Dongguk di sini. - AP

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X