Sabtu, 18 Februari 2017 | 6:01am
TAPAK rumah tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW yang terletak bersebelahan Masjidilharam kini dijadikan perpustakaan. - Foto Ismail Mat
SEBAHAGIAN peserta umrah melawat ladang kurma di ladang dekat Madinah. - Foto Ismail Mat
SEBAHAGIAN peserta umrah Koperasi PDRM melihat sebahagian daripada pelan pembangunan yang dirancang terhadap Masjidilharam ketika melawat Pameran Pembangunan Kota Suci Makkah. - Foto Ismail Mat
ANTARA kawasan pasar terbuka yang kebanyakan peniaga terdiri daripada kaum wanita yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi di Madinah. - Foto Ismail Mat
SEBAHAGIAN peserta umrah meninjau jualan kurma di ladang dekat Madinah. - Foto Ismail Mat
PEKERJA sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di Perkuburan Baqe' yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi. - Foto Ismail Mat

Koperasi PDRM biaya umrah ahli tanpa faedah


UMAT Islam yang menziarahi Masjid Nabawi, Madinah sabar menunggu giliran untuk bersolat dalam Raudhah serta menziarahi makam Rasullullah SAW. - Foto Ismail Mat

DALAM keadaan mulut terkumat-kamit bertalbiah, penulis mengekori ustaz yang bertindak sebagai mutawif, memasuki Masjidilharam buat pertama kali dalam hidup untuk mengerjakan umrah.

Tanpa disedari, air mata tiba-tiba membasahi pipi, sejurus terpandang binaan Kaabah yang tersergam indah di depan mata.

Sambil menyeka air mata daripada terus mengganggu tumpuan, penulis dapat merasakan itulah adalah detik paling indah kerana tanpa disangka-sangka berpeluang menjejak kaki di Masjidilharam.

Peluang istimewa itu muncul apabila ditugaskan memenuhi jemputan membuat liputan perjalanan umrah anjuran Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad (KPDRM) baru-baru ini.

Sesungguhnya, perjalanan mengerjakan umrah dan haji di Makkah, sambil menziarahi kota suci, Madinah, sering dikaitkan dengan ketentuan serta seruan Ilahi kepada setiap hambaNya, yang mahu mencari keredaan dalam kehidupan.


SEBAHAGIAN peserta umrah bergambar kenangan di hadapan Masjid Quba. - Foto Ismail Mat

Masa sama, ia juga menuntut keazaman dan perancangan kewangan oleh setiap umat Islam, kerana keperluan menampung kos perjalanan, agar ibadat dan ziarah yang mahu dikerjakan di Tanah Suci itu berjalan lancar.

Menyedari impian ramai ahlinya berhasrat melakukan ibadat umrah, sementara menanti peluang mengerjakan haji yang tertakluk kepada kuota, KPDRM kini mengambil inisiatif menawarkan pembiayaan tanpa faedah kepada ahli yang mahu ke Tanah Suci.

Pembiayaan tanpa faedah bagi mengerjakan umrah terbabit ditawarkan menerusi pakej perjalanan kendalian KOP Travel, subsidiari anak syarikat KPDRM, KOP Mantap Berhad, bermula dengan pakej serendah RM6,080 seorang dengan kemudahan penginapan empat sebilik.

Pembiayaan itu boleh dinikmati semua ahli koperasi serta ahli keluarga masing-masing, sebelum pembayaran balik, dibuat menerusi potongan gaji bulanan ahlinya. Masa sama, pakej umrah terbabit juga ditawarkan kepada orang awam pada harga istimewa dan berpatutan.

Pengerusi KPDRM, Tan Sri Hussin Ismail, berkata tawaran pembiayaan mengerjakan umrah tanpa faedah itu adalah sebahagian daripada usaha pihaknya memberi manfaat dan faedah kepada ahli koperasi.


PESERTA rombongan umrah di Jabal Rahmah. - Foto Ismail Mat

"Selama ini, pengurusan tiket perjalanan adalah antara aktiviti perniagaan yang menguntungkan KOP Travel. Kini kami melihat umrah dan ziarah di Tanah Suci, mempunyai potensi dikembangkan sebagai aktiviti perniagaan KOP Travel.

"Justeru itu, KPDRM mengambil peluang menawarkan pembiayaan tanpa faedah kepada ahli yang berhasrat ke Tanah Suci.

"Menerusi pendekatan ini, kami merancang membiayai sekurang-kurangnya 100 ahli untuk mengerjakan umrah setiap bulan," katanya kepada BH yang menyertai rombongan KPDRM meninjau kemudahan jemaah umrah di Makkah dan Madinah, minggu lalu.

Turut serta dalam rombongan itu termasuk Setiausaha KPDRM, Datuk Zulkapli Ahmad dan Bendaharinya, Datuk Mohd Fuad Abd Latiff serta sebahagian Ahli Lembaga Pengarah KPDRM.

Mengulas lanjut, Hussin yakin, KOP Travel tidak berdepan masalah menguruskan perjalanan semua ahli rombongan umrah yang bakal dikendalikan kerana sudah menjalin kerjasama dengan dua agensi tempatan, termasuk muasasah yang berpengalaman luas di Makkah dan Madinah.


SEBAHAGIAN daripada Ahli Lembaga Pengarah Koperasi PDRM bergambar di hadapan hotel yang bakal digunakan bagi menempatkan peserta umrah yang akan dikendalikan oleh Kop Travel di Makkah. - Foto Ismail Mat

Kerjasama yang dimeterai itu terbukti berjalan baik termasuk penyediaan mutawif berpengalaman, sepanjang perjalanan rombongan Lembaga Pengarah KPDRM ke Makkah dan Madinah pada 29 Januari hingga 8 Februari lalu.

"Berdasarkan harga pakej ditawarkan, kami melihat ia kompetitif dengan pesaing dalam pasaran, cuma kami sedang berusaha mencari kelainan supaya lebih ramai ahli koperasi memilih untuk mengerjakan umrah bersama KOP Travel.

"Tiga aspek diberi perhatian sepanjang tinjauan baru-baru ini iaitu keselesaan penginapan, makanan serta jarak hotel ke Masjidilharam serta Masjid Nabawi," katanya.

Hussin berkata, peluang mengerjakan ibadat umrah bersama KOP Travel juga membuatkan ahli koperasi itu tidak mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan peserta rombongan kerana masing-masing berkongsi latar belakang pekerjaan yang sama.

Ketika menyertai rombongan KPDRM baru-baru ini, selain peluang beribadat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi, rombongan disertai penulis turut dibawa meninjau pelbagai lokasi menarik dan bersejarah.


SEBAHAGIAN peserta umrah bergambar kenangan ketika meninjau Perkuburan Baqe' yang terletak bersebelahan Masjid Nabawi. - Foto Ismail Mat

Antara lokasi di Makkah yang dikunjungi termasuklah pameran pembangunan masjid Tanah Suci, Jabal Rahmah, Jabal Nur, Padang Arafah serta tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW.

Di Madinah, selain beribadat di Masjid Nabawi sambil menziarahi makam Rasulullah dan para sahabat baginda di Perkuburan Baqe', rombongan juga berpeluang melawat tempat yang ada kaitan dengan sejarah Islam seperti Bukit Uhud dan Sokaifat Bani Saedah.

Gambaran suasana zaman Nabi Muhammad SAW ketika mendiami kota Madinah, termasuk keadaan kediaman baginda yang serba ringkas juga juga dapat dilihat sendiri menerusi replika yang dibina dan dipamerkan di Muzium Madinah.

Selain berpeluang melawat ladang kurma, peserta juga boleh membeli belah pelbagai buah tangan untuk dibawa pulang dengan menyusuri pasar terbuka atas tapak yang pernah dibangunkan sebagai medan niaga oleh Abdul Rahman Auf ketika zaman Rasulullah SAW.

Secara peribadi, pengalaman beribadat di Masjidilharam dan Masjid Nabawi sepanjang umrah serta ziarah itu, membuatkan hati terkenang-kenang saat indah itu sambil berdoa agar berpeluang kembali lagi ke Tanah Suci.


SEBAHAGIAN peserta umrah Koperasi PDRM melihat sebahagian daripada pelan pembangunan yang dirancang terhadap Masjidilharam ketika melawat Pameran Pembangunan Kota Suci Makkah. - Foto Ismail Mat

INFO: Pembiayaan tanpa faedah umrah KPDRM

  • Pakej berharga dari RM6,080 seorang (bilik berempat)

  • Rebat untuk ahli yang bayar tunai

  • Bayaran balik pembiayaan secara potongan gaji

  • Pembiayaan untuk ahli dan anggota keluarga

  • Pakej umrah terbuka kepada orang awam

  • 300 meter jarak hotel ke Masjidilharam

  • 100 meter jarak hotel ke Masjid Nabawi

  • Maklumat lanjut - www.koptravel.com.my

  • Pejabat KOP Travel, tingkat bawah, Bangunan Koperasi Polis, Jalan Sulaiman, Kuala Lumpur.

  • Pakej umrah March 2017 - hubungi talian 03-2274 7484.
111 dibaca
Berita Harian X