Sabtu, 18 Februari 2017 | 3:34pm

'Gelombang ungu' banjiri Padang Merbok

KUALA LUMPUR: Ratusan individu berpakaian ungu mula membanjiri Padang Merbok bagi menyertai Himpunan Rang Undang-Undang 35 (RUU 355) di sini, hari ini.

Peserta himpunan itu terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, termasuk individu bukan Islam, yang hadir bagi menyatakan sokongan terhadap RUU355.

Penganjur sebelum ini menjangkakan kehadiran seramai 200,000 penyokong daripada kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam ke himpunan itu.

Beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik dijangka menyampaikan pidato serta perbahasan sepanjang himpunan yang dijangka tamat pada jam 11 malam.


PESERTA menunaikan solat Zohor di perkarangan Masjid Negara sebelum hadir ke Himpunan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di Padang Merbok. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Antara mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Ahli Parlimen Temerloh, Nasrudin Hassan; serta Ketua Dewan Ulama PAS pusat, Datuk Dr Mahfudz Mohamad.

Pemimpin NGO pula ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar; Pengerusi Sekretariat Ummat, Aminudin bin Yahya; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia, Datuk Prof Mahamad Naser Disa serta jurucakap Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).

Sesi pidato pada sebelah malam turut menampilkan tokoh agama diketuai, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri; Pengerusi Sekretariat Ulamak & Umarak, Datuk Jailani Ngah; Datuk Dr Hassan Ali serta jurucakap Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM), Dr Yusri Mohamad.

Pada masa sama, satu himpunan balas turut dijadual diadakan di Tasik Taman Jaya, Petaling Jaya, dipelopori kumpulan yang menolak RUU355.

RIBUAN peserta berkumpul pada Himpunan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di Padang Merbok, Kuala Lumpur. - Foto Saddam Yusoff
RIBUAN peserta berkumpul pada Himpunan Rang Undang-Undang 355 (RUU 355) di Padang Merbok, Kuala Lumpur. - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X