Sabtu, 18 Februari 2017 | 5:52pm

Jakel terima anugerah antarabangsa

DATUK Mohamed Faroz (tiga dari kiri) menerima anugerah "Jenama Antarabangsa Terbaik 2016" dan "Pemimpin Berwawasan 2016" yang disampaikan oleh Ahli Parlimen United Kingdom, Stephen Timms.

KUALA LUMPUR: Syarikat tekstil terkemuka, Kumpulan Jakel, mengharumkan nama negara apabila dinobatkan sebagai `Jenama Antarabangsa Terbaik 2016' pada The 7th Middle East Business Leaders Awards 2016 di London, malam tadi.

Kumpulan Jakel mendapat kemenangan berganda apabila Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel, dipilih sebagai tokoh `Pemimpin Berwawasan 2016'.

DATUK Mohamed Faroz Mohamed Jakel. - Foto Roslin Mat Tahir

Mohamed Faroz berkata, anugerah itu diberi berikutan pencapaian membanggakan syarikatnya sepanjang 2016.

"Walaupun berdepan keadaan ekonomi mencabar, Jakel mencapai kejayaan ini.

"Anugerah ini diperoleh hasil usaha beradik-beradik dan kakitangan Jakel, di samping strategi pemasaran yang memberi impak kepada perniagaan secara keseluruhannya."

"Anugerah ini adalah hadiah untuk keluarga dan kakitangan saya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

The 7th Middle East Business Leaders Awards dianjurkan oleh The American Leadership Development Association (ALDA) bersama The Leaders International Magazine dan disahkan oleh The Federation of GCC Chambers (FGCCC).

Sebanyak 30 anugerah perdana disampaikan kepada tokoh pemimpin dan kumpulan syarikat yang berperanan secara efektif dalam perniagaan serta pasaran di peringkat global.

Penerima anugerah malam berkenaan dipilih dari pelbagai negara termasuk dari Asia, Eropah dan negara GCC yang lain.

Kejayaan Jakel itu membuka mata pelbagai pihak seperti The Malaysia Book of Records, Persekutuan Peruncit dan Francaisi ASEAN, HR Asia dan Yayasan Jenama Terbaik Dunia.

Tahun lalu, Jakel menerima pengiktirafan sebagai `Pasar Raya Fabrik Terbesar di Dunia' oleh Best Brand Foundation.

Berita Harian X