Sabtu, 18 Februari 2017 | 9:10pm

Sarawak kekal rekod pilihan raya terbaik - SPR

PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah meninjau proses pengundian di saluran SK Bumiputera sempena Pilihan Raya Kecil DUN Tanjong Datu. - Foto Luqman Hakim Zubir

LUNDU:  Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah kagum dengan kelancaran Pilihan Raya Kecil (PRK) yang baru sahaja berakhir malam ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh 14 hari berkempen, pihaknya tidak menerima sebarang laporan kesalahan pilihan raya.

Malah pemantauan pihaknya juga tidak menemui sebarang poster atau risalah berbentuk provokasi yang boleh mencetuskan ketegangan antara pihak yang bertanding.

"Apa kita nampak sepanjang tempoh berkempen PRK Tanjong Datu ini ialah keharmonian dan suasana kekeluargaan.

"Ini sesuatu yang amat dikagumi dan harus dicontohi di tempat lain di negara ini," katanha selepas pengumuman keputusan PRK Tanjong Datu di Dewan Masyarakat, di sini, malam ini.

Mohd Hashim berkata, berikutan keadaan aman itu, beliau membuat kesimpulan Sarawak adalah pemegang rekod pilihan raya terbaik negara ini.

"Kita lihat contoh terdekat pada PRK Balingian (2014) kemudian pada Pilihan Raya Negeri pada 2016 dan kini, ia dibuktikan lagi pada PRK Tanjong Datu ini yang tidak langsung mencatat sebarang insiden walaupun mengoyak poster," katanya.

Berita Harian X