Ahad, 19 Februari 2017 | 6:00am

Pindaan Akta 355 perkukuh institusi agama selaras kehendak semasa

KETUA Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari (tengah, empat kiri) bersama dengan penyokongnya menunjukkan risalah anak muda negeri Kelantan yang menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 yang dibentang pada Oktober pada sidang media di Kota Bharu. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

PADA sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Suku Tahunan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya kelmarin, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, menyebut betapa undang-undang yang sudah lebih 30 tahun perlu dipinda bagi menjadikan hukuman yang dikenakan kepada pesalah, bertepatan dengan keperluan semasa.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), 1965 (Akta 355) antara undang-undang yang sudah lapuk itu, sebab itu semua pihak perlu menyokong usaha untuk meningkatkan hukuman kepada pesalah jenayah syariah bagi membolehkan tujuan akta ini diperkenalkan, dapat dicapai.

Akta 355 mula dibaca untuk kali kedua dalam sidang Dewan Rakyat pada 3 Mac 1965 oleh Tun Abdul Rahman Ya'kub, yang ketika itu adalah Menteri Tanah dan Galian. Tercatat di dalam hansard kata-kata beliau bahawa tujuan akta ini diperkenalkan adalah berdasarkan keperluan perlembagaan.

Abdul Rahman menyebut, sejak merdeka, pelbagai enakmen negeri sudah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri berbeza yang memberikan pelbagai hukuman berbeza ke atas kesalahan yang terangkum dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan.

Kuasa negeri untuk membuat enakmen ini terkandung di dalam Butiran 1 Senarai II yang berbunyi, "... keanggotaan, susunan dan tatacara mahkamah syariah, yang hendaklah mempunyai bidang kuasa hanya ke atas orang yang menganut agama Islam dan hanya berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam perenggan ini, tetapi tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan kecuali setakat yang diberikan oleh undang-undang persekutuan;..."

Akta 355, melalui Seksyen 2, jelas Abdul Rahman, memberikan kepada mahkamah syariah bidang kuasa berkenaan dengan kesalahan ini, manakala Seksyen 3 pula menjadikan segala kesalahan yang dibicarakan sebelum mula berkuatkuasanya akta ini hendaklah disifatkan sudah dibicarakan dengan sah seolah-olah bidang kuasa yang berkenaan dengannya diberi kepada Mahkamah-Mahkamah itu oleh undang-undang Persekutuan.

Dalam sesi perbahasan, sokongan ke atas Akta 355 ini dinyatakan antaranya oleh Tan Sri Mohamed Asri Muda, Datuk Fatimah Abdul Majid dan Datuk Wan Abdul Kadir Ismail. Kata Mohamed Asri ia adalah "satu percubaan yang baik dalam langkah awal bagi menyatukan kedudukan perjalanan mahkamah syariah di seluruh negara kita ini".

Kata Fatimah: "memanglah sudah semestinya satu undang-undang tetap diadakan bagi satu-satu hukuman yang sekata dijalankan di seluruh negeri ini".

Kata Wan Abdul Kadir pula: "penyamaan pelaksanaan undang-undang syariah ini telah menjadi idaman lama dan cita-cita lama setiap orang di negeri ini".

Menjawab gesaan Mohamed Asri yang meminta jaminan supaya had sekatan bagi hukuman yang paling berat tidak dijadikan mutlak, Abdul Rahman di dalam penggulungannya menyebut: "Jawapannya ya... kalau Parlimen berfikir di masa akan datang hukuman di dalam Seksyen 2 itu tidak mencukupi, ia boleh diubah".

Beliau juga melahirkan rasa sukacita kerana Mohamed Asri "sedar bahawa di tahap ini kita belum lagi dapat memberi kuasa yang begitu luas, yang begitu banyak kepada mahkamah syariah di dalam negeri kita ini".

Denda tak lebih RM1,000

Bidang kuasa awal yang diberikan kepada mahkamah syariah pada 1965 ini ialah denda tidak melebihi RM1,000, penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali. Pada 10 Oktober 1984, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Mohamad Nor, yang waktu itu adalah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, mencadangkan pula bidang kuasa ini dinaikkan menjadi denda menjadi denda tidak melebihi RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun, sebatan tidak melebihi enam kali atau apa-apa gabungan hukuman ini. Kedua-dua akta asal dan pindaannya diluluskan tanpa sebarang bangkangan.

Kini sudah lebih 32 tahun pindaan ke atas Akta 355 ini dibuat jadi wajarlah jika ia dipinda.

Kelmarin dan pada 25 Julai 2016, Ketua Biro Undang-Undang dan Perlembagaan, Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, menyebut kononnya pindaan ke atas Akta 355 dan Akta 355 ini sendiri adalah tidak berperlembagaan. Kata Abdul Aziz, mengikut Perkara 74(1) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen hanya boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Persekutuan atau Senarai Bersama (iaitu Senarai I atau III dalam Jadual Kesembilan). Abdul Aziz juga dilaporkan berkata, jika pindaan ke atas Akta 355 ini diluluskan oleh Parlimen, pihak MPM akan mencabarnya di mahkamah.

Mengapa baharu sekarang diuar-uarkan bahawa pindaan ke atas Akta 355 dan akta ini adalah tidak berperlembagaan sedangkan tiada siapa pernah menyatakan perkara sama bila akta ini diluluskan pada 1965 dan bila ia dipinda pada 1984? Di mana Abdul Aziz pada waktu itu?

Seperti dinyatakan Abdul Rahman, pengenalan Akta 355 adalah keperluan yang berpunca daripada kewujudan Butiran 1 Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan. Akta ini adalah punca kuasa mahkamah syariah.

Di sebalik kewujudan Perkara 74(1), Perkara 76(1)(b) Perlembagaan Persekutuan jelas menyebut bahawa "Parlimen boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri... bagi maksud menggalakkan keseragaman undang-undang antara dua negeri atau lebih."

Diguna pakai untuk orang Islam

Negeri yang tidak mahu mengguna pakai pindaan ke atas Akta 355 ini tidak perlu kecoh kerana Perkara 76(3) menyebut bahawa pindaan undang-undang ini tidak boleh berkuat kuasa di mana-mana negeri sehingga undang-undang itu sudah diterima pakai melalui suatu undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu. Jika tidak suka, jangan terima pakai.

Penganut bukan Islam juga tidak perlu kecoh kerana seperti diperuntukkan oleh Butiran 1 Senarai II, mahkamah syariah hanya mempunyai bidang kuasa ke atas orang yang menganut agama Islam sahaja.

Pindaan ini juga adalah selaras dengan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ketika Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Ketiga Belas, pada 7 Mac 2016 yang memohon supaya disegerakan "langkah-langkah ke arah memperkukuhkan institusi agama dan kecekapan pelaksanaan undang-undang pentadbiran agama Islam melalui pemerkasaan mahkamah syariah".

Berita Harian X