Ahad, 19 Februari 2017 | 8:20am

Putera Adam sasar juara di Sepang

PUTERA Adam Halim.
PUTERA Adam Halim.

BANGI: Pelumba cilik negara, Putera Adam Halim, menyasarkan untuk muncul juara perlumbaan go-kart Cabaran Asia 'X30 2017 di Litar Go Kart Sepang dekat sini, pada petang ini.

Pengarah Bakat Sukan MVP Sports Agency, Hafizan Halim, berkata beliau yakin Putera Adam tidak mempunyai masalah besar untuk menaiki podium berdasarkan prestasi cemerlang pelumba cilik berkenaan.

Hafizan berkata, Putera Adam berjaya muncul pelumba terpantas di sesi latihan bebas di Cabaran Asia 'X30 2017 dengan menewaskan 15 peserta lain termasuk dari Singapura dan Thailand di Litar Go Kart Sepang, dekat sini, petang semalam.

"Saya percaya Putera Adam tidak mempunyai masalah besar untuk muncul juara kejohanan ini jika pelumba muda berkenaan terus mengekalkan prestasinya di dua lagi saringan dan menduduki petak pertama dalam perlumbaan sebenar yang bakal berlangsung petang ini," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Sebelum ini Putera Adam pernah mencipta sejarah menjadi pelumba go kart Malaysia pertama menaiki podium dua kali berturut-turut di WSK Super Master Series di Itali.

Putera Adam berjaya menaiki podium buat kali pertama selepas mendapat tempat ketiga di perlumbaan WSK Super Master Series di Litar Antarabangsa 7 Laghi, Itali, sebelum pelumba berusia 10 tahun itu sekali lagi berbuat demikian mengulangi di pusingan pertama WSK Super Master Series di Litar Adria, Venice, Itali, minggu lalu.

Selepas ini, pelumba yang bernaung di bawah MVP Sports Agency itu akan meneruskan baki tiga lagi perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa 7 Laghi, Itali pada 2 hingga 5 Mac ini, diikuti di Litar Antarabangsa La Conca (16 hingga 19 Mac) dan Litar Antarabangsa Napoli Sarno (6 hingga 9 April).

Berita Harian X