Ahad, 19 Februari 2017 | 11:23am

Kelindan lori dihukum mati edar ganja

MUAR: Seorang kelindan lori dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas didapati bersalah mengedar ganja di Taman Puteri, Kluang dekat sini, tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Muhammad Jamil Hussin menjatuhkan hukuman itu ke atas R. Karuppu Samy, 36, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya berkata keterangan tertuduh yang tidak mengetahui kewujudan kotak hitam mengandungi dadah itu adalah jelas penafian semata-mata.

Tertuduh menghadapi tuduhan mengedar 657 gram ganja di sebuah rumah beralamat No 46, Jalan Sutera 2/6, Taman Puteri, Kluang dekat sini, pada jam 12.10 tengah malam, 20 Mac tahun lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Seramai 12 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan kes itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rasyidah Murni Adzmi manakala tertuduh diwakili peguam Salmi Hamdan Sabran.

BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X