Ahad, 19 Februari 2017 | 6:07pm

Putera Adam rangkul kejuaraan X30 Asia Challenge

PUTERA Adam Halim menepati ramalan apabila muncul juara perlumbaan go kart X30 Asia Challenge 2017 di Litar Go Kart Sepang. -Foto NSTP
PUTERA Adam Halim menepati ramalan apabila muncul juara perlumbaan go kart X30 Asia Challenge 2017 di Litar Go Kart Sepang. -Foto NSTP

SEPANG: Pemandu muda negara, Putera Adam Halim menepati ramalan apabila muncul juara perlumbaan go kart X30 Asia Challenge 2017 di Litar Go Kart Sepang di sini, sebentar tadi.

Dia yang mewakili pasukan IS Racing dan bermula dari petak pertama, menewaskan 14 pelumba lain dengan catatan masa 11:23.599 minit.

Tempat kedua dimenangi pelumba Indonesia, Aditya Wibowo dengan masa 11: 25.822 minit manakala ketiga menjadi milik Yevan David dari Sri Lanka, 11:28.52.

Bercakap kepada BH Sukan, Putera Adam, 10, melahirkan rasa gembira dengan kejayaannya itu kerana ia menepati sasaran sebelum ini.

"Kejayaan ini sedikit sebanyak memberi motivasi untuk saya terus berusaha dan berjaya dalam perlumbaan lain, termasuk di Indonesia minggu depan dan WSK Super Master Series bulan depan," katanya.

Sebelum ini, Putera Adam mencipta sejarah menjadi pemandu go kart Malaysia pertama menaiki podium dua kali berturut-turut di WSK Super Master Series di Itali.

Dia menaiki podium selepas menduduki tempat ketiga di perlumbaan WSK Super Master Series di Litar Antarabangsa 7 Laghi, Itali, sebelum mengulanginya pada pusingan pertama WSK Super Master Series di Litar Adria, Venice, Itali, minggu lalu.

Selepas ini, pemandu yang bernaung di bawah MVP Sports Agency itu akan meneruskan perlumbaan di Litar Antarabangsa 7 Laghi pada 2 hingga 5 Mac ini, diikuti di Litar Antarabangsa La Conca (16 hingga 19 Mac) dan Litar Antarabangsa Napoli Sarno (6 hingga 9 April).

Berita Harian X