Ahad, 19 Februari 2017 | 6:42pm

Dakwa ibu bapa biar anak keluar malam, awal pagi

TAN Sri Lee Lam Thye menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Muhamad Zaki Harun pada Program Diskusi Meja Bulat Bandar Selamat Kelestarian Sejagat di D'Tempat Bandar Sendayan. Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa pihak berkuasa termasuk polis supaya mendakwa ibu bapa yang membiarkan anak bawah umur berkeliaran tanpa pengawasan pada waktu yang tidak sesuai.

Naib Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md Ali, berkata terdapat beberapa peruntukan mengikut Akta Kanak-Kanak 2001 yang membolehkan tindakan itu diambil terhadap penjaga.

"Kita perlu akui tindakan membiarkan kanak-kanak atau remaja bawah umur keluar rumah pada waktu tengah malam dan awal pagi tidak boleh diterima kerana mendedahkan mereka kepada bahaya dan pengaruh tidak sihat.

"Jika pihak berkuasa mula mengambil tindakan, kita yakin ibu bapa akan lebih tegas dalam mengawal pergerakan anak mereka," katanya pada sidang media selepas program perbincangan meja bulat Bandar Selamat Kelestarian Sejagat MCPF di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye dan Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun.

Kamarudin mengulas mengenai trend remaja dan kanak-kanak berkeliaran pada waktu malam dan awal pagi dengan menaiki basikal tanpa pengawasan orang dewasa.

Sementara itu, Muhamad Zaki berkata, pihaknya sudah mengeluarkan arahan kepada semua ketua polis balai supaya memberi perhatian terhadap aktiviti remaja dan kanak-kanak menunggang basikal beramai-ramai, terutama pada waktu malam.

"Aktiviti itu mungkin tidak salah, cuma kita tidak benarkan mereka menunggang basikal dalam kumpulan besar tanpa pengawasan pihak berkuasa kerana ia mengundang bahaya," katanya.

Berita Harian X