Ahad, 19 Februari 2017 | 6:59pm

UMNO, BN beri penjelasan skandal Forex

KUALA LUMPUR : UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan menggerakkan jentera penerangannya ke seluruh negara mulai Mac ini bagi menjelaskan secara terperinci keputusan Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada 1990-an.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata penjelasan sedemikian penting memandangkan ketika ini ada cubaan pihak tertentu mahu membandingkannya dengan isu dihadapi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


TAN Sri Annuar Musa. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Beliau yang menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak relevan, sebaliknya menjelaskan bahawa skandal Forex ini sebenarnya tidak disiasat secara menyeluruh sebelum ini, walaupun ia membabitkan kehilangan besar wang negara menerusi Bank Negara.

"Kenapa ia ditubuhkan jawatankuasa (pasukan petugas khas) ini, kenapa tidak 1MDB. Ini akan dijelaskan. Kehilangan wang (dalam skandal Forex) sebenarnya tidak disiasat sebagai laporan kehilangan sebenar wang kerajaan.

"Skandal ini membabitkan dana kerajaan dan ia jelas berbeza dengan keadaan dalam 1MDB, yang guna RM1 juta dana kerajaan (dana awal 1MDB). 1MDB juga entiti yang sudah melalui siasatan dan ia hanya sebuah syarikat," katanya.

Skandal Forex ini kata Annuar jelas satu bentuk kehilangan sebenar dana rakyat dan menerusi pasukan khas ini, penubuhannya sekurang-kurangnya untuk tahu secara lebih jelas ia berpunca dari kelemahan siapa.

"Apa keputusan Kabinet nanti ia satu keputusan yang lain. Kita cuba untuk beri penjelasan berkenaan cubaan pihak tertentu untuk wujudkan keraguan terhadap keputusan kerajaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Penerangan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini sebentar tadi. Hadir sama Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Jamawi Jaafar.

Sama ada sesi penerangan ini petunjuk Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan dalam masa terdekat, Annuar berkata, perkiraan utama yang diambil adalah menjelaskan perkara sebenar kepada rakyat tanpa mengira bila PRU diadakan.

Sebagai permulaan, beliau menyatakan sesi penerangan pertama akan bermula pada 25 Februari ini di Parlimen Hulu Selangor sebelum bergerak ke kawasan lain, membabitkan kerjasama dari semua pucuk pimpinan dan pemimpin akar umbi, 1 Mac depan.

Annuar berkata, jawatankuasa penerangan UMNO juga kini memfokuskan kepada tiga gerakan intensif penerangan iaitu melalui ceramah bersemuka di pelbagai peringkat, penyebaran maklumat melalui media elektronik dan cetak serta media baharu.

15 dibaca
Berita Harian X