Isnin, 20 Februari 2017 | 11:12am

APMM selamatkan 4 nelayan Indonesia

ZULINDA (kanan) bersama empat nelayan Indonesia yang diselamatkan selepas bot mereka hanyut akibat kerosakan pada jentera. - Foto Noor Hidayah Tanzizi

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyelamatkan seorang tekong dan tiga awak-awak Indonesia bersama bot yang dihanyutkan ke perairan Malaysia pada kedudukan 37.04 kilometer dari Pulau Pangkor,di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, nelayan yang berpangkalan di Tanjung Balai, Indonesia itu dikatakan sudah tujuh hari di laut sebelum bot mereka rosak.

Pengarah Maritim Daerah 3 Lumut, Kapten Maritim Zulinda Ramly, berkata pihaknya yang menerima maklumat itu daripada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengarahkan kapal Maritim Marlin yang sedang menjalankan rondaan dan penguatkuasaan ke lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati bot nelayan itu mengalami kerosakan pada jentera utama yang menyebabkan bot itu hanyut hingga ke perairan negara.

"Keadaan itu menyebabkan bekalan makanan dan bahan bakar hampir kehabisan, namun semua warga asing terbabit berada dalam keadaan baik, " katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, empat nelayan asing itu bersama bot diiringi ke Jeti Pasukan Gerakan Marin, Kampung Acheh dan akan diserahkan kepada pihak kedutaan Indonesia untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Zulinda berkata, pihaknya menemui mayat lelaki terapung kira-kira 2.5 kilometer dari Pulau Pangkor pada jam 7 malam, semalam.

"Mayat yang lengkap berpakaian itu dianggarkan berusia lewat 30-an dan dipercayai sudah lebih tiga hari meninggal dunia berikutan keadaan mayat yang kembung dan mereput, " katanya.

Berita Harian X