Rabu, 6 Ogos 2014 | 6:50pm
KUALA LUMPUR 25 July 2014. (UNTUK FATIN/BIPOP) Pelakon, Nora Danish hadir pada majlis berbuka puasa MIG bersama anak-anak yatim Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR) , Subang Jaya. NSTP/Munira Abdul GhaniMunira binti Abdul Ghani

Sikap terbuka Nora Danish pikat pengikut di Instagram

KUALA LUMPUR: Sikap terbuka Nora Danish dalam berkongsi apa saja mengenai rutin kehidupannya termasuk kisah peribadi barangkali antara faktor penting mengapa beliau diikuti sejuta pengikut di laman sosial popular masa kini, Instagram.

Rekod berkenaan dicapai ibu tunggal kepada Rayqal itu hari ini.

Nora meninggalkan jauh pesaing popular artis tanah air lain antaranya seperti Lisa Surihani (738,000), Zizan Razak (721,000), Datuk Siti Nurhaliza (692,000), Scha Alyahya (668,000), Aaron Aziz (479,000).

Nora ketika ini memuat naik gambar sebanyak 7,182 dengan purata 10 kali kemas kini sehari.

Di bawah akaun Instagram @noradanish, pelakon jelita itu mengikuti hanya 761 orang saja antaranya termasuk di kalangan rakan artis, teman media, teman di luar bidang seni dan ikon fesyen serta artis antarabangsa. Ikuti komen Nora di bawah.

"Seperti kebanyakan mereka yang menggemari Instagram, saya selesa berkongsi gambar aktiviti seharian ketika di lokasi penggambaran, gambar anak, selfie dan termasuk gambar peribadi saya dengan insan rapat. Dalam apa kemungkinan dan seiring dengan 10 tahun usia pembabitan seni, saya bersedia dengan tohmahan.

"Setiap komen sama ada positif atau negatif saya sentiasa terima. Saya perlu tebalkan telinga dan muka, kerana bukan semua sukakan kita. Saya juga mengambil pendekatan menyekat mana-mana akses pengikut yang agak keterlaluan.

"Ikutkan saya jarang menyekat akses mereka yang sering memberi komen negatif terhadap gambar yang dimuat naik, sebaliknya saya selalu menyekat akses remaja lelaki yang suka memberi komen lucah.

"Tambahan pula saya bergelar ibu dan mempunyai anak. Ia contoh yang tak baik untuk anak saya," katanya yang dihubungi BH Online sebentar tadi.

Tambah Nora lagi, pertambahan jumlah pengikutnya di laman Instagram mempunyai kedua-dua kesan, positif dan negatif.

"Macam saya cakap tadi, bukan semua orang yang ikut kita sukakan kita. Daripada sudut positif, saya bersyukur ia menjadi ruang untuk saya menjana pendapatan. Saya boleh jadi pengaruh untuk pengikut mendapatkan mana-mana produk atau perkhidmatan yang mahu dipromosikan.

"Daripada sudut negatif, seperti saya katakan tadi, saya perlu bersedia dengan 'mulut-mulut jahat' yang ada kalanya boleh membuatkan saya jadi tertekan. Tapi lumrahlah semua itu," katanya yang sedang menjalani penggambaran drama episod dengan judul sementara Mak Cun Raya Di Spain Uols arahan Erma Fatima untuk TV3.

Berita Harian X