Selasa, 21 Februari 2017 | 9:59am
SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kadazan, Kunak, awal pagi tadi. - Foto Ihsan IPD Kunak

Polis rampas rokok seludup, tahan dua lelaki


SEBAHAGIAN rokok seludup yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kadazan, Kunak, awal pagi tadi. - Foto Ihsan IPD Kunak

KUNAK: Polis daerah ini merampas 10,140 bungkus rokok seludup bernilai RM90,000 dan menahan dua lelaki dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kadazan, dekat sini awal pagi tadi.

Kedua-dua suspek masing-masing seorang warga tempatan dan warga Filipina berumur 25 dan 67 itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kunak.

Operasi yang diketuai Asisten Superintendan Abbas Saud dan Ketua Bahagian Pelesenan IPD Kunak, Inspektor Edriansyah Saita itu bermula pada jam 2.45 pagi tadi.


Mohd Nasaruddin M Nasir

Ketua Polis Daerah Kunak, Superintendan Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata dalam serbuan itu, polis menjumpai sejumlah rokok yang disyaki belum dibayar cukai kastam disembunyikan dalam dua kereta di garaj rumah terbabit.

"Selepas diperiksa, kedua-dua kenderaan itu sarat dengan muatan rokok seludup antaranya 4,940 bungkus rokok jenama Surya, 4,600 bungkus rokok Premium dan 600 bungkus rokok berjenama LA," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pagi ini. 

Nasarudin berkata, kedua-dua suspek direman, manakala kenderaan dan barang rampasan dibawa ke balai polis daerah untuk siasatan lanjut. 

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai terus menyalurkan maklumat berhubung aktiviti jenayah di daerah ini kepada polis agar tindakan segera dapat diambil.

Berita Harian X