Selasa, 21 Februari 2017 | 4:29pm
GAMBAR kaki anak sulung Akim dan Stacy yang dikongsi penyanyi lelaki itu di laman sosial Instagramnya.

Akim beri kasih sayang pada Eshaal, Bella


PENYANYI, Akim Ahmad dengan anak angkatnya, Bella De Luna Valentina.

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Akim Ahmad, berusaha memberikan kasih sayang sama rata antara cahaya mata pertama dengan anak angkat mereka, Bella De Luna Valentina, 5 tahun.

Jumaat lalu, Akim dan isteri, Stacy, menyambut kelahiran zuriat sulung mereka yang kini hanya dikenali sebagai Eshaal.

"Memang nampak jelas Bella sudah mula cemburu dengan kehadiran Eshaal. Begitupun, menjadi tugas saya untuk seimbangkan kasih sayang antara mereka.

"Saya semestinya tidak mahu terlalu fokus pada seorang anak dan mengabaikan yang seorang lagi," katanya ketika ditemui selepas menjayakan konsert sulung Akim & The Majistret di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC, di sini malam tadi.

Akim turut memberitahu, dirinya tidak tidur lena selepas kelahiran si kecil, apatah lagi pada masa sama perlu menumpukan perhatian kepada persembahan mereka di dewan berprestij itu.

"Menjelang persembahan, saya tidur di pusat perubatan di mana anak kami dilahirkan untuk menemani isteri," katanya yang mengaku cukup rindukan Eshaal setiap kali mereka berenggang.

Mengenai nama yang dipilih untuk bayinya, Akim, 26, berkata perkataan yang membawa maksud bunga paling wangi dari syurga itu belum lagi rasmi diberi.

"Nama itu belum rasmi dan muktamad lagi. Saya masih cuba mencari nama terbaik untuk anak kami. Perkataan Eshaal akan dikekalkan dan berkemungkinan ada penambahan nama lain bersamanya. Saya kena tanya orang yang lebih arif mengenai maksud supaya ia seiring dengan apa yang diinginkan.

"Saya akan mendaftarkan nama penuhnya, Jumaat ini, kerana ada yang cakap, lebih afdal ia dilakukan pada hari ketujuh kelahiran," katanya.

Selain itu, Akim memberitahu, beliau bertuah kerana anggota Akim & The Majistret tidak lokek berkongsi pengalaman mereka menjadi bapa.

Masing-masing juga, katanya, rajin memberikan nasihat berharga buat dirinya.

"Mereka banyak memberikan maklumat untuk saya, sejak daripada Stacy mengandung sampailah dia selamat melahirkan anak. Kata-kata positif daripada mereka membuatkan saya mahu menjadi ayah yang lebih baik lagi," katanya.

295 dibaca
Berita Harian X