Selasa, 21 Februari 2017 | 9:18pm

4 lelaki larikan emas bernilai RM80,000

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan di sebuah kedai emas yang di rompak di Jalan Dewa. - Foto Omar Osman

SUNGAI PETANI: Empat lelaki bertopi keledar serta bersenjatakan pistol dan tukul besi melarikan empat dulang barangan kemas bernilai kira-kira RM80,000 dari sebuah kedai emas, di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku pada jam kira-kira 5 petang apabila empat lelaki yang bertopi keledar menyerbu masuk ke dalam kedai emas Eumas, Jalan Dewa, di sini.

Difahamkan, empat suspek terbabit yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 meletak kenderaan mereka di tepi sebuah premis, kira-kira 20 meter dari kedai emas itu dan berjalan kaki menuju ke lokasi kejadian.

Sumber polis berkata, sebaik memasuki premis berkenaan, seorang suspek dipercayai mengacu pistol ke arah empat individu yang berada di situ iaitu pemilik dan pekerja serta mengarahkan mereka supaya tidak melawan.

Katanya, seorang lagi suspek memecahkan cermin yang menempatkan barang emas menggunakan tukul besi dan memasukkan empat dulang emas ke dalam beg seorang lagi suspek.

"Semua suspek kemudiannya melarikan diri dengan motosikal ke arah Jalan Ibrahim, " katanya ketika dihubungi, di sini, sebentar tadi.

Beliau berkata, polis masih meneruskan siasatan dan memburu semua suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X