Rabu, 22 Februari 2017 | 6:24pm

MOSTI lulus 9 MS baharu


MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tungau. - Foto Salhani Ibrahim

PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Jabatan Standard Malaysia sudah meluluskan sembilan Standard Malaysia (MS) baharu termasuk berkaitan filem penghadang haba mengikut spesifikasi yang ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Tungau, berkata penggunaan filem penghadang kenderaan itu tidak lagi dilihat sebagai aksesori tambahan kepada kenderaan tetapi ia lebih kepada keperluan bagi mengurangkan kepanasan dalam kenderaan.

"Dengan adanya MS baharu ini, ia dapat mengurangkan kekeliruan antara penjual filem penghadang haba dengan pemilik kenderaan.

"Selain itu, ia turut memberi panduan kepada pemilik kenderaan import terutama yang bercermin gelap untuk membawa masuk kenderaan mereka di negara ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Madius berkata, MS berkenaan secara tidak langsung menyokong Kaedah 5(1) dan Kaedah 5(3), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) Pindaan 2000 di bawah JPJ bagi membantu mengawal selia serta mentadbir piawaian keselamatan kenderaan bermotor dengan cekap dan berintegriti.

"Standard berkenaan bagi memenuhi keperluan pengguna, alam sekitar dan industri automotif negara. Ia juga merangkumi kaedah pengujian yang akan digunakan di makmal bagi pengesahan pematuhan produk," katanya.

Sebelum ini, JPJ menetapkan kadar peratusan filem penghadang haba kenderaan yang dibenarkan adalah 70 peratus untuk cermin belakang, 50 peratus bagi empat cermin sisi dan 30 peratus bagi cermin hadapan. Sehingga kini sebanyak 5,211 MS dikeluarkan merentasi pelbagai sektor industri yang dibangunkan.

Berita Harian X