Khamis, 23 Februari 2017 | 12:10am

Zalikha berdakwah menerusi doodle

SIBU: Penggunaan media sosial seperti Instagram lazimnya dijadikan medium bagi remaja untuk mempamerkan fesyen terbaharu, tidak kurang menunjukkan gambar melancong, selain mempromosi produk perniagaan.

Namun, berbeza dengan Noor Zalikha Ahmad, 22, beliau menggunakan Instagram untuk menjalankan dakwah melalui 'doodle' berkonsepkan wanita muslimah.

Berasal dari Kampung Matu, Daro, gadis yang kini bekerja sebagai juruwang di sebuah pusat beli-belah di Sibu ini mula belajar melukis kartun bertemakan wanita muslimah pada 2013 dan kini akaun Instagram 'Nzalikhaa' miliknya mencecah lebih 10,000 pengikut.

"Saya mula memuat naik lukisan kartun muslimah ini semata-mata untuk berdakwah. Setiap kartun disertakan dengan kata-kata nasihat berunsur keagamaan sebagai perkongsian bersama.

NOOR Zalikha Ahmad memuat naik lukisan kartun muslimah ini semata-mata untuk berdakwah. - Foto Harun Yahya

"Lukisan saya juga sering dikongsi oleh pengikut yang ada. Ada yang meminta kebenaran untuk berkongsi lukisan ini tetapi saya sebenarnya tidak kisah. Lebih ramai 'repost', lebih banyak ilmu atau nasihat akan tersebar," katanya yang tidak pernah menunjukkan wajahnya di laman instagram berkenaan.

Bertudung labuh dengan percakapan yang sopan, gadis Melanau ini tidak pernah menyangka akaun Instagram miliknya mampu mencecah lebih 10,000 pengikut.

"Dahulu saya hanya mempunyai lebih 1,000 pengikut di Instagram, tetapi hujung tahun lalu, akaun ini mula mendapat perhatian umum dan jumlah pengikutnya semakin bertambah dengan cepat hingga sekarang.

"Pengikut yang semakin bertambah ini memotivasikan saya berkongsi lebih banyak kata-kata nasihat menerusi akaun instagram ini.

"Saya hanya menggunakan nasihat secara lembut dalam setiap karya yang dihasilkan. Bagi saya, dakwah secara kasih sayang lebih mudah diterima berbanding kata-kata sentap yang mungkin menerima reaksi negatif daripada masyarakat," katanya.

ANTARA hasil lukisan yang dimuat naik ke laman sosial.

Sedar dengan potensi 'kewangan' yang tiba dengan jumlah pengikut yang ramai, Zalikha bagaimanapun mengakui akan menolak jika ada pihak yang mahu mengiklan atau membayar untuk review di akaun instagramnya.

"Saya mengendalikan akaun ini semata-mata untuk dakwah dan sebagai bekalan saya di dunia dan akhirat. Bukannya untuk memperoleh keuntungan melalui iklan produk atau perkhidmatan.

"Sebelum ini, ada juga yang bertanya sama ada saya boleh melukis untuk dicetak di atas 'tote bag' dan penyangkut kunci. Namun, saya belum bersedia untuk menerima bayaran bagi akaun instagram saya," katanya.

Zalikha berkata, setiap lukisan yang dimuat naik mengambil masa sejam hingga sehari untuk disiapkan tertakluk kepada kerumitan sesebuah lukisan dan 'mood' beliau.

"Kebanyakan kata-kata dakwah ini datang dari saya sendiri dan kawan-kawan. Saya hanya menggunakan aplikasi telefon 'sketchbook' untuk melukis lukisan saya. Alhamdulillah, setakat ini saya tidak pernah mendapat kritikan negatif dan ramai yang menyukai 'doodle' yang saya kongsikan," katanya.

Untuk masa depan, beliau merancang untuk menerima bayaran melukis jika ada permintaan dan sebahagian bayaran itu nanti akan didermakan kepada masjid dan anak yatim di Sibu.

NOOR Zalikha Ahmad, 22, menggunakan sepenuhnya media sosial intagram beliau untuk berdakwah menggunakan doodle. - Foto Harun Yahya

INFO

- Akaun Instagram 'Nzalikhaa' miliknya mencecah lebih 10,000 pengikut.

- Bekerja sebagai juruwang di sebuah pusat beli-belah di Sibu.

- Belajar melukis kartun bertemakan wanita muslimah pada 2013.

Berita Harian X