Khamis, 23 Februari 2017 | 11:56am

Isuzu perbaiki rekod pencapaian


KENJI Matsouka dan pasukan Isuzu meraikan kejayaan sebagai jenama kenderaan paling popular di Malaysia.

ISUZU naik satu anak tangga ke kedudukan keenam dari segi jualan keseluruhan jenama kenderaan paling popular di Malaysia tahun lalu, daripada tempat ketujuh sebelum ini.

Menurut angka jualan keseluruhan yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA), trak ELF edaran Isuzu Malaysia kekal menjadi trak tugas ringan paling laris untuk tujuh tahun berturut-turut dan kali ketiga untuk trak tugas sederhana, Forward.

Isuzu juga meneruskan dominasi dalam pasaran trak di Malaysia dengan mencatat perkongsian pasaran sebanyak 38.9 peratus.

Jumlah jualan bagi Isuzu D-Max dalam segmen trak pikap pula meningkat 10 peratus walaupun jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk segmen terbabit menampakkan penurunan sehingga 19 peratus.

Kenaikan itu sekali gus menambah baik perkongsian pasarannya daripada 11 peratus kepada 15 peratus dan menjadikan D-Max dan MU-X kini menjadi jenama trak paling laris di pasaran tempatan.

Isuzu juga kekal tangga teratas tahun lalu untuk segmen kenderaan komersial (CV) di Malaysia, walaupun prestasi jualan TIV turun 13 peratus.

"Kami bangga dengan pencapaian sebagai jenama kenderaan komersial pilihan pengguna di Malaysia sekali lagi walaupun jangkaan kurang positif bagi industri automotif pada 2016," kata Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsouka, mengenai laporan pasaran 2016 oleh MAA itu.

Matsouka berkata, kejayaan mengekalkan prestasi, posisi dan peningkatan perkongsian pasaran itu adalah hasil kualiti cemerlang kenderaan Isuzu, di samping usaha mengutamakan kepuasan pelanggan menerusi langkah menambah baik konsep 3S yang membabitkan aspek jualan, servis dan alat ganti.

"Kenaikan dalam kedudukan jelas membuktikan kualiti produk dan perkhidmatan kami. Kakitangan servis kami berbangga untuk menyediakan servis selepas jualan yang terbaik, selain memberi perhatian khusus kepada pelanggan dengan menganggap mereka sebagai 'rakan kongsi'.

"Kami memberi penekanan terhadap aspek latihan dan bangga bahawa kumpulan pertama graduan daripada Sekolah Teknikal Isuzu (ITS) telah ditempatkan di pusat-pusat servis sah Isuzu yang berbeza di seluruh negara untuk meningkatkan lagi tahap kepuasan pelanggan dan memberi 'pengalaman Isuzu' kepada mereka," kata Matsuoka.

Matsuoka menegaskan, sekalipun pasaran secara keseluruhannya menjadi semakin sengit, inisiatif syarikat untuk menjangkau lebih ramai pelanggan membuatkan Isuzu Malaysia membuka sebuah pejabat di Kuching pada November lalu. Beliau berkata, pembukaan pejabat itu jelas menyumbang kepada penerimaan yang amat memberangsangkan dalam kalangan pemandu di sana.

"Kami akan terus menambah baik kualiti servis serta tawaran produk dalam segmen Kenderaan Komersial dan Kenderaan Komersial Ringan di Malaysia pada masa hadapan. Kami juga mahu menjadi jenama yang dipercayai dan diidamkan oleh setiap pengguna trak," katanya.

Berita Harian X