Khamis, 23 Februari 2017 | 2:49pm

Sultan Johor titah peranan IRDA dikaji semula

MUAR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah baginda mahu kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula peranan Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (IRDA).

Titah baginda, ketika ini banyak projek pembangunan yang dilaksanakan oleh IRDA tidak selari dengan kehendak kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Saya ingin menyeru kepada kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula peranan IRDA. Setahu saya, IRDA hanya satu badan yang membantu kerajaan negeri untuk mempromosikan wilayah pembangunan Iskandar Malaysia dan menarik pelabur untuk datang ke kawasan terbabit.

"IRDA tidak boleh mengatasi kuasa negeri dalam hal tanah, kerajaan tempatan, kerja negeri dan perancangan pembangunan negeri. IRDA sepatutnya mengikut kehendak kerajaan negeri atau pihak berkuasa majlis tempatan dan bukannya kerajaan negeri yang kena ikut syarat IRDA, " titah baginda.


SULTAN Ibrahim Iskandar bertitah pada Majlis Perasmian Galeri Bukit Kepong di Muar, hari ini. - Foto Adi Safri

Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Galeri Bukit Kepong di sini, hari ini.

Sultan Ibrahim bertitah, banyak projek pembangunan IRDA yang kadang kala tidak selari dengan kehendak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) sekali gus menimbulkan banyak masalah kepada rakyat Johor.

"Contohnya projek menaik taraf sungai Segget yang mengakibatkan banjir kilat sering berlaku di tengah bandar raya Johor Bahru.

"IRDA harus bertanggungjawab terhadap perancangan dan pelaksanaan projek yang bermasalah ini," titah baginda.

403 dibaca
Berita Harian X