Jumaat, 24 Februari 2017 | 12:14am

Empower ECER ubah kehidupan anak muda Kampung Pianggu

ROMPIN: Nasib seorang anak muda berubah selepas menyertai program Empower Ekonomi Wilayah Pantai Timur (Empower ECER) yang membolehkan beliau membuka perniagaan sendiri di kampungnya di Kampung Pianggu, dekat sini, dengan menawarkan perkhidmatan telekomunikasi kepada masyarakat desa.

Malah, Ahmad Razuan Hafiz Rasman, 24, mampu mengembangkan perniagaannya dengan memberi perkhidmatan membaiki telefon bimbit secara bergerak iaitu di Mersing, Johor, sejak sebulan lalu.

Dua tahun lalu, kehidupan beliau boleh dianggap `kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' dan terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi pekerja am di sebuah pasar raya, di sini.

Dengan pendapatan RM900 sebulan, sudah tentu tidak mencukupi baginya untuk menyara kehidupan termasuk membantu keluarganya dalam menyediakan pelbagai keperluan harian terutama makanan.

Katanya, kini walaupun perjalanan jauh terpaksa ditempuh iaitu kira-kira 70 kilometer (km) bagi perjalanan pergi dan balik ke Mersing, Ahmad Razuan tidak menganggapnya sebagai bebanan malah menguatkan semangatnya untuk mencari rezeki halal.

"Alhamdulillah, cubaan saya menyediakan perkhidmatan membaiki telefon bimbit di Mersing mendapat sambutan menggalakkan walaupun saya hanya ke sana sekali setiap minggu iaitu pada Sabtu.

"Boleh dikatakan rezeki saya agak murah apabila menyediakan perkhidmatan itu. Agak berbaloi perjalanan jauh dan memang memenatkan tetapi inilah cara mencari rezeki saya," katanya ketika ditemui BH Plus di premis perniagaan di Kampung Pianggu, dekat sini.

AHMAD Razuan membaiki telefon bimbit yang rosak . - Foto Muhd Asyraf Sawal

Katanya, latihan membaiki telefon bimbit diikutinya menerusi program disediakan Empower ECER Rompin membolehkannya membuka perniagaan sendiri di kampungnya, seterusnya menjana pendapatan sendiri untuk mengubah kehidupan keluarganya.

Beliau juga tidak menyangka dapat membuka perniagaan sendiri kerana dahulunya dirinya sering bertukar kerja seperti bekerja kilang dan pekerja am di pasar raya sebelum menyertai kelas latihan membaiki telefon bimbit.

"Saya mendapat bimbingan yang baik bukan sahaja dalam aspek membaiki telefon bimbit malah didedahkan dengan bidang keusahawanan supaya kami dapat menguruskan perniagaan dengan baik.

"Selepas tamat latihan, saya membeli peralatan membaiki telefon secara berperingkat dan mula menjalankan perniagaan dengan bimbingan guru pelatih di Empower ECER," katanya.

Justeru, beliau berhasrat mengembangkan perniagaannya dan sudah membuat permohonan dengan pihak berkuasa bagi menyewa lot premis di Tanjung Gemok, dekat sini.

PENGUSAHA kedai, Ahmad Razuan Hafiz R Asman, membaiki telefon bimbit yang rosak yang menawarkan perkhidmatan di luar untuk kemudahan pelanggannya ketika temui di Kampung Pianggu, Tanjung Gemok. - Foto Muhd Asyraf Sawal

INFO

- Penerima Anugerah Usahawan Gemilang Muda pada Konvokesyen dan Juara Empower ECER Rompin, Ogos tahun lalu.

- Premis di Kampung Pianggu ini akan dikekalkan untuk membantu penduduk kampung.

AHMAD Razuan membaiki telefon bimbit di luar untuk kemudahan pelanggannya ketika temui di Kampung Pianggu, Tanjung Gemok. - Foto Muhd Asyraf Sawal
AHMAD Razuan membaiki telefon bimbit di luar untuk kemudahan pelanggannya ketika temui di Kampung Pianggu, Tanjung Gemok. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENGUSAHA kedai membaiki telefon bimbit di Kampung Pianggu Tanjung Gemok, Ahmad Razuan Hafiz R Asman. - Foto Muhd Asyraf Sawal
PENGUSAHA kedai membaiki telefon bimbit di Kampung Pianggu Tanjung Gemok, Ahmad Razuan Hafiz R Asman. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X